Monday, January 24, 2011

Pemimpin Umno gila bayang beri kenyataan 'tak tentu arah'

Pelaburan : Kenyataan Mukhriz 'Tidak Masuk Akal'


GEORGE TOWN 24 Jan. : Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menegaskan adalah "tidak masuk akal" kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir bahawa 99 peratus pelaburan di negeri ini adalah atas usaha promosi kerajaan pusat.

Lim berkata adakah ini bermakna kalau Pulau Pinang tidak mendapat pelaburan,itu juga tanggungjawab kerajaan pusat.

"Kalau Mukhriz yang cakap begitu, beliau juga mesti bertanggungjawab kalau Pulau Pinang tidak berjaya (menarik pelaburan). Tak kan kalau berjaya beliau hendak dapat kredit dan kalau tidak berjaya itu salah orang lain," katanya.

Katanya enam bulan pertama tahun lepas, kerajaan negeri dikritik hebat oleh pihak pembangkang negeri iaitu dari Barisan Nasional (BN) kerana hanya mampu mencapai RM1.5 bilion pelaburan.

"Masa itu, kita dikritik hebat dan mengapa BN tidak keluar untuk mengaku itu salah mereka. Sekarang bila Pulau Pinang dapat mencapai jumlah pelaburan yang tertinggi tahun lepas, itu dia punya kredit dan itu dia punya kepandaian," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan kenyataan Mukhriz bahawa kerajaan Pulau Pinang yang diteraju pakatan DAP-Parti Keadilan Rakyat-PAS tidak harus cepat "mengambil kredit" di atas usaha orang lain dalam mempromosikan negeri tersebut sebagai destinasi pelaburan.

Sebelum ini, Pulau Pinang berjaya mencatatkan peningkatan sebanyak 465 peratus pelaburan pada tahun 2010 berbanding dengan tahun 2009.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Dr Mujahid Rawa yang dihubungi oleh TV Selangor berkata komitmen dan daya usaha pimpinan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang bersikap telus terbuka menarik minat para pelabur asing.

"Apa juga pelaburan yang datang untuk melabur di Malaysia adalah bergantung kepada dua pihak, promosi yang agresif serta kemudahan yang disediakan dari sudut dasarnya tapi pada waktu yang sama kalaulah negeri itu yang menerima pelaburan juga harus berada dalam keadaan infrastruktur yang baik, dalam hal ini Pulau Pinang menjadi destinasi kerana infrastruktur yang baik.

"Pimpinan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang mengambil sikap yang telus, terbuka dan ini memudahkan urusan mereka walaupun pelaburan itu datang dari Pusat dan akhirnya mereka akan bertapak di negeri tersebut dan terpulang kepada negeri itu menyediakan kemudahan," ujar Mujahid.

Tambah Mujahid lagi kerjasama erat antara pusat dan kerajaan negeri amat perlu bagi memastikan pembangunan berjalan lancar seperti yang dirancang.

"Seharusnya kita melihat apa saja pelaburan yang datang daripada Pusat, itu adalah satu yang baik dan di peringkat negeri menyambutnya dengan kemudahan infrastruktur dan itu juga penyumbang kepada berkesannya pelaburan itu.

Dalam keadaan politik hari ini kerana persekutuan masih diperintah oleh BN, mereka menggunakan banyak isu untuk ekploitasi kerajaan Pakatan jadi kita terpaksa respon. Hakikatnya dari sudut bekerjasama, bila datang pelaburan selagi ia baik untuk negara kita mesti seronoklah," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment