Blog Pria Malaya memetik pendedahan 'Kedahleaks' oleh blogger Kedah Times (sebuah blog pro BN) perihal skandal oleh bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menurut Kedahleaks semasa menjawat jawatan pemangku Menteri Besar Kedah selama enam bulan, Mahdzir Khalid telah melakukan urusniaga balak dengan pemberian tender secara tertutup membolehkan beliau mengutip hasil peribadi yang dimasukkan kedalam beberapa akaun proksi bernilai RM10juta.
Dedah blog itu, seorang kerani kewangan di Pejabat Menteri Besar semenjak era Tan Sri Sanusi Junid, kini bertugas di bahagian pembelian dan kewangan SADA, mengesahkan perkara ini kerana beliau antara salah seorang yang ditugaskan untuk memasukkan wang kutipan berkenaan kedalam akaun peribadi orang tertentu.
Mahdzir Khalid, menurut Kedahleaks, menggunakan jet TUDM dan jet pihak swasta yang disewa dari seorang Kapten untuk semua urusan rasmi dan peribadi meskipun pekeliling dan arahan pentadbiran tidak melayakkan beliau berbuat demikian.
Arahan perbendaharan mewajibkan MB mesti menaiki pesawat komersial Malaysia Airlines. Hutang tertunggak sewa jet berkenaan kini mencecah RM1.2 juta.
Dakwa blog itu lagi, mengikut rekod bendahari Negeri menunjukkan sejumlah RM4.4 juta dibelanjakan untuk lebih 23 kali lawatan keluar negeri sepanjang beliau menjadi Menteri Besar.
Satu pendedahan yang mengejutkan (jika benar) ialah kononnya semasa menjadi Pemangku Menteri Besar, beliau telah mengupah wartawan TV3 dan Jeffery jurukamera dengan bayaran RM450,000 termasuk hadiah sebuah kereta BMW3series dan Honda CRV dengan tujuan mendedahkan satu persatu apa yang dikatakan kepincangan pentadbiran Syed Razak (MB Kedah yang sedang sakit diserang mild stroke ketika itu).
Mahdzir Khalid, dakwa Kedahleaks lagi, dengan kuasanya sebagai Menteri Besar telah menjadikan para pegawai khasnya kaya raya dan jutawan segera.
Saya tidak tertarik untuk mengetahui benar atau salah dakwaan yang disenaraikan itu kerana ia bersumberkan blog oleh penulis hantu. Ia boleh jadi semuanya bohong. Atau semuanya benar. Dan mungkin juga bercampur antara yang benar dan bohong.
Hari ini blog tidak boleh dijadikan sumber rujukan yang kuat atau muktabar, kerana jika ada pihak diserang oleh blog yang selama ini menyerang pihak lawannya, maka terpaksalah pihak tersebut membuat dua piawaian yang berbeza. Bukankah hipokrit namanya?
Macam media pro BN yang beriya-iya mensahihkan dakwaan (kononnya) Anwar benar-benar peliwat berdasarkan sumber Wikileaks. Apabila tiba-tiba Wikileaks mendedahkan pula seorang menteri BN adalah perogol maka tercungap-cungap mereka mencari dalih.
Apa yang mahu saya dedahkan ialah sikap puak-puak di dalam Umno negeri ini sedang bertungkus lumus bekerja keras untuk menjatuhkan musuh politik mereka sesama parti. Serangan melalui medan maya adalah antara langkah yang digunakan secara meluas dan terbuka.
Apa yang sedang dihadapi oleh Mahdzir sekarang ialah usaha nekad untuk menyahkan beliau dari persada kepimpinan Umno Kedah. Mahdzir diangkat sebagai ketua pembangkang kerana beliau bekas Menteri Besar.
Jika berjaya BN merampas Kedah maka ketua pembangkanglah adatnya menjadi Menteri Besar. Namun untuk Mahdzir, jawatan ketua pembangkang itu juga mahu dinyahkan darinya selepas beliau dilucutkan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Kedah.
Terkini Pengerusi Perhubungan Umno Kedah ialah ADUN Bakar Bata yang menang pilihanraya dengan 358 undi, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah.
Pelantikan yang dibuat oleh Presiden Umno itu begitu mengecewakan penyokong Datuk Mukhriz Tun Mahathir. Mukhriz hanya diberi jawatan Timbalan Pengerusi sebagai ‘gula-gula’ untuk meredakan kemarahan penyokongnya.
Bagi penyokong Mukhriz, Ahmad Bashah tidak mampu menarik sokongan golongan muda, memandangkan beliau adalah ADUN warisan zaman Tan Sri Osman Aroff lagi.
Zamannya sudah berlalu. 11 ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian yang dipimpinnya meletak jawatan kerana tidak berpuashati dengan kepimpinan bahagian yang diterajuinya. “Bahagian sendiri pun kelam kabut, nak mampu nak satukan, macam mana nak satukan Umno Kedah?” ujar pengkritiknya.
Sementara penyokong Ahmad Bashah membalas kritikan tersebut dengan menonjolkan kelemahan Mukhriz. “Nak tarik golongan muda konon, piiraahh, nak tarik Pemuda Umno sokong dia pun tak mampu sampai kalah di tangan Khairy, macam mana nak tarik golongan muda yang bukan ahli Umno…” balas pengkritiknya.
Perang puak dalam Umno Kedah menjadi sangat menarik. Jika mahu dibuat catatan, boleh buat kitab setebal hikayat seribu satu malam.
Beberapa hari selepas dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno, Mukhriz melancarkan Gelombang Merah Tawan Kedah di Kuala Nerang.
Masyarakat dapat menilai apa rasionalnya program tersebut dibuat tanpa kehadiran Pengerusi Perhubungan serta lain-lain pemimpin utama Umno negeri.
Takkanlah nak gerakkan gelombang tawan negeri setaraf dengan program mesyuarat agung cawangan? Jangankan gelombang, riak pun tak nampak.
Program tersebut tidak mendapat sambutan ahli-ahli Umno tempatan sendiri. Kredibiliti politik Mukhriz jatuh tersepuk. Kebetulan di sebelah malamnya, seluruh rakyat Malaysia meraikan kejayaan meranapkan gelombang merah di Stadium Bung Karno.
Hakikatnya siapa pun yang naik memimpin Umno Kedah maka nasib yang dialami sama saja, iaitu tidak akan mendapat sokongan padu ahli-ahli serta kepimpinan bawahan mereka.
Tiada lagi tokoh penyatupadu Umno di Kedah macam di zaman Tun Mahathir, Osman Aroff, Sanusi Junid dan Syed Razak Syed Zain. Umno Kedah sedang bergelut di hujung nyawa, sementara menunggu kuasa mereka di Pusat runtuh menyembah bumi. ZULKIFLI YAHAYA
No comments:
Post a Comment