Monday, January 3, 2011

Perkasa dan Gaps patut buat demo depan Umno

Pemimpin Umno yang sepatutnya ke ‘tali gantung’ kerana mansuh kuasa Raja Melayu

Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar berkata, bukan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Muda, Shuhaimi Shafie yang sepatutnya dijatuhkan ‘hukuman gantung’, sebaliknya pemimpin Umno yang telah melucutkan kuasa raja-raja Melayu pada 1983 dan 1993.

Shamsul berkata demikian mengulas tindakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) yang mahu Shuhaimi Shafie ‘dihukum gantung’ kerana kononnya cuba mencetuskan ‘peperangan terhadap Sultan Selangor’, berdasarkan satu tulisan di blog beliau.


Kedua-dua NGO berkenaan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Shah Alam yang mahu Shuhaimi diheret mengikut Seksyen 121 Kanun Jenayah atau Seksyen 121 (1B), masing-masing memperuntukkan hukuman gantung dan penjara seumur hidup.


“Bagi saya ini adalah tindakan terdesak yang dilakukan Perkasa dan Gaps yang menggambarkan mereka tidak memahami undang-undang sedia ada, sebaliknya jelas mereka sebenarnya didokong oleh Umno, ” kata Shamsul.


Menurut Shamsul, beliau percaya apa yang ditulis Shuhaimi berdasarkan takrifan dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, dalam konteks kuasa yang ada pada Sultan dan bukan bermakna ‘mengisyitiharkan perang kepada baginda.


Perkara itu, katanya diperkukuhkan lagi dengan penjelasan Sultan Sharifuddin Idris Shah hari ini, bahawa baginda tidak dapat berbuat apa-apa dalam isu pelantikan SUK yang baru, Datuk Khusrin Munawi kerana kuasa yang ada pada baginda telah dilucutkan ketika pindaan perlembagaan pada 1993.


Jesteru Shamsul melontarkan pertanyaan kepada Perkasa dan Gaps tentang siapakah sebenarnya yang telah menghina raja-raja Melayu dengan meminda perlembagaan pada 1983 dan 1993.


“Sepatutnya pemimpin Umno pada waktu itu lah yang dibawa ke tali gantung kerana menderhaka kepada raja. Kerana Umno-BN lah yang terang-terang telah menempelak kuasa yang ada pada raja-raja Melayu. Jadi siapa sebenarnya yang telah menderhaka kepada raja-raja Melayu kalau bukan Umno,” tegas Shamsul.


Krisis utama yang membabitkan Raja-Raja dengan Kerajaan Persekutuan berlaku pada 1983 membabitkan soal perkenan diraja dalam penggubalan rang undang-undang yang diluluskan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, serta kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan darurat.


Pindaan Perlembagaan 1983 itu bukan sahaja mewujudkan krisis perlembagaan tetapi buat kali pertamanya selepas Merdeka, Umno mengadakan rapat umum untuk menghentam raja-raja, yang telah meletakkan kedudukan raja dipandang hina di mata rakyat.


Pindaan Perlembagaan tahun 1993 pula melibatkan cubaan Umno menghapuskan imuniti raja-raja meskipun keputusan Majlis Raja-Raja pada masa itu meminta masa untuk mengkaji cadangan pindaan tersebut, namun ditolak Umno.


Media-media massa yang dikawal Umno pada masa itu menyiarkan kenyataan biadap beberapa Menteri yang mendedahkan apa yang didakwa sebagai salah laku raja-raja dan anggota kerabat Diraja tertentu.

No comments:

Post a Comment