CADANGAN PINDAAN UNDANG-UNDANG TUBUH NEGERI SELANGOR 1959 AKAN DIBUAT SECARA TERTIB
SHAH ALAM, 5 Jan.: Kenyataan bahawa DYMM Sultan Selangor mempunyai kuasa eksekutif dalam pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri hanyalah pandangan peribadi Setiausaha Sulit DYMM Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani.
YAB Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, berkata pindaan Perlembagaan pada 1993 secara jelas telah menghapuskan kuasa Sultan dalam pelantikan tiga pegawai eksekutif.
“Sebelum 1993 (sebelum Perlembagaan dipinda), dinyatakan dengan jelas bidang kuasa Sultan dalam pelantikan pegawai eksekutif,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini.
YAB Menteri Besar berkata, cadangan meminda Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 akan mengembalikan kuasa kepada Sultan untuk melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-undang Negeri.
“Saya yakin DYMM Sultan memahami situasi yang berlaku selepas 1993 dan keadaan yang berlaku sekarang,” katanya.
Beliau berkata, Penasihat Undang-undang Negeri telah diminta melihat cadangan pindaan ini. Selain itu, Kerajaam negeri melantik dua pakar undang-undang, Prof Dr Aziz Bari dan Dato’ Param Cumaraswamy untuk memberi nasihat dan pandangan.
YAB Menteri Besar, cadangan pindaan ini akan dibuat dengan tertib dan akan dimaklumkan kepada DYMM Sultan Selangor sebelum dibentangkan pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat.
Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid Ibrahim, berkata mesyuarat MMKN hari ini bersetuju menyerahkan usul untuk mengadakan sidang DNS dan surat mengenai perkara itu telah dihantar kepada Speaker DNS, Dato’ Teng Chang Khim.
No comments:
Post a Comment