KUALA LUMPUR 17 Jan.: Rancangan Program 100 Hari bukan cakap sesuka hati kerana sebahagiannya telahpun dilaksanakan di negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat(PR), ujar Lim Guan Eng.
Beliau dipetik berkata demikian di Majlis Tertutup Bengkel Pilihanraya Kebangsaan DAP Di Kuala Lumpur 16 Januari lalu.
Katanya, sungguhpun banyak program dijalankan oleh kerajaan negeri yang di bawah PR, tidak ada satu negeri pun yang bankrap. Sebaliknya ia lebih kukuh seperti Pulau Pinang yang telah dipuji dua tahun berturut-turut oleh Lapuran Ketua Audit Negara 2008 dan 2009.
Malah Pulau Pinang dianggap sebagai mempunyai prestasi terbaik di negara pada 2009.
Selepas ditadbir PR, Pulau Pinang mencatat sejarah apabila mencatat lebihan bajet paling besar iaitu sebanyak RM 88 juta pada 2008 dan RM 77 juta pada 2009.
Melalui lebihan bajet itu pelbagai program dijalankan di antaranya membasmi miskin tegar dengan memastikan setiap keluarga mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM500 sebulan.
Pada tahun 2010, peruntukan pendidikan tahunan sebanyak RM11.3 juta kepada sekolah agama rakyat, sekolah mubaligh, sekolah Cina dan Tamil telah diberikan.
Rebat air RM100 setiap keluarga sederhana rendah dan bawah sebanyak RM 17 juta pada 2008-9.
Program penghargaan warga emas sebanyak RM20 juta setahun dengan pembayaran RM100 setiap tahun kepada yang lebih 60 tahun dan wang pengurusan jenazah RM1,000 kepada waris. Program ini akan diperluaskan kepada OKU dan ibu tunggal tahun ini.
"Semua program pro-rakyat tidak pernah dilaksanakan zaman BN memerintah selama 51 tahun tetapi dapat dibuat dalam tiga tahun PR memerintah. Wang penjimatan daripada urustadbir CAT dan program anti-rasuah yang dipuji oleh Transparency International membolehkan "dividen" anti-rasuah dalam bentuk program di atas dibayar dan dilaksanakan," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Sehingga kini, ketirisan ekoran penyelewengan kewangan dan amalan rasuah setahun melibatkan sekurang-kurangnya RM 28 bilion setiap tahun dalam kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya kata Guan Eng, bila ketirisan dihapuskan banyak program menfaatkan rakyat boleh dibuat seperti wifi percuma dan penghapusan tol.
"Oleh itu banyak program 100 hari PR seperti membayar RM1,000 setiap tahun kepada warga emas melebihi 60 tahun boleh dilaksanakan. Dengan 2.1 juta warga emas, pembayaran RM1,000 setahun hanya melibatkan RM2.1 bilion setahun yang tak sampai 10% RM 28 bilion. Ada baki lagi. Inilah yang harus dikongsi bersama dengan rakyat di bawah dasar ekonomi berjiwa rakyat PR," katanya yang juga Setiausaha Agung DAP.
Sebelum ini, kerajaan Barisan Nasional mengumumkan 19 lagi projek permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi Ekonomi yang akan menjana pelaburan hampir RM67 bilion.
Sejumlah RM36 bilion pendapatan negara kasar dan mewujudkan 35,000 pekerjaan baharu untuk menjadikan Malaysian sebagai negara berpendapatan tinggi.
No comments:
Post a Comment