Sunday, January 30, 2011

PRK DUN Tenang: Paras air terus meningkat




LABIS 30 Jan. : Hujan lebat yang mencurah-curah sejak lima hari lalu memberi implikasi kepada hari pengundian DUN Tenang hari ini.

Jalan ke Kg Tenang, Air Panas, Ulu Juaseh. Sawah Baru, Felda Tenang, Kg Redong dari pekan Labis, Segamat telahpun terputus kerana dinaiki air yang semakin meningkat.

Sementara itu seramai 846 mangsa banjir Tenang sudah dipindahkan setakat berita ini ditulis.

Paling teruk, Kampung Sawah Baru teruk ditenggelami air sehingga anggota tentera dan bomba kini menyediakan bot bagi memindah penduduk yang terperangkap di situ.

Selain itu Jalan Labis- Segamat turut ditenggelami air dan menyebabkan kesukaran bagi kenderaan dan pengundi untuk ke pusat pengundian di Ladang Bukit Dato dan SMK Kamarul Ariffin yang diberitakan turut dinaiki air.

Jalan ke Kg Lembah Bakti dan Kg SeKijang turut dinaiki air namun masih tidak serius.

Di Labis pula, Pusat Pengundian di Labis Timur dan Labis Tengah ditutup kerana dimasuki air.

Kenyataan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan 65.19 peratus atau 9618 pengundi telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 3 petang ini.

Kerajaan Johor dilaporkan telah pun bersedia membuka pusat pemindahan banjir di daerah Segamat, Ayer Hitam dan Yong Peng akibat Sungai Labis, Sungai Bekok, Sungai Gatom dan Sungai Juaseh di Daerah ini melimpah kerana hujan tidak berhenti sejak seminggu lalu.

No comments:

Post a Comment