Sunday, January 16, 2011

Program merakyatkan ekonomi Selangor : Konsep baru pemilikan rumah

Kerajaan Selangor Bakal Perkenal Konsep Baru Pemilikan Rumah


SHAH ALAM 16 Jan. : Kerajaan Negeri Selangor akan memperkenalkan satu konsep baru mengenai pemilikan rumah yang selari dalam Program Merakyatkan Ekonomi Selangor untuk menyelesaikan masalah polisi pemilikan dan pembinaan rumah di Negeri Selangor.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan keperluan perancangan sebegini perlu bagi memastikan penduduk Selangor dapat memiliki rumah mengikut kemampuan mereka.

Khalid membayangkan konsep Pakatan Rakyat adalah berbeza dengan konsep biasa yang diamalkan sebelum ini di mana segmentasi masyarakat terjadi ekoran tiada kawalan penuh mengenai pemilikan dan pembelian rumah oleh individu.

"Itu konsep kita, bukan sekat-sekat, perlu ada mobiliti kepada penduduk untuk berpindah ke tempat lain. Kalau tidak kita akan segmenkan masyarakat. Pada kita masyarakat makin lama akan makin maju sebab itu. Kita akan bentangkan nanti sebab itu kita katakan 'merakyatkan ekonomi' itu konsep yang besar," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika sidang media sempena Program Menaik Taraf Kehidupan Rakyat Petaling Jaya bersama ADUN Taman Medan Haniza Talha dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan Hee Loy San.

Program naik taraf ini dijalankan bagi membantu penduduk di pangsapuri di bawah kelolaan Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya dapat dicantikkan dan dibaiki sekaligus meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Sebelum ini, kerajaan Negeri telah mencuba satu polisi dalam satu projek syarikat pemaju TPPT Sdn. Bhd. di mana pembinaan rumah mampu milik untuk menggantikan rumah kos rendah. dengan keluasan 700 kaki persegi dengan harga tidak lebih dari RM65,000.

Menurut Khalid, hal ini memberi lebih kebebasan kepada pemilik untuk memiliki rumah.

Bagaimanapun Khalid menyatakan kerajaan negeri telah mempunyai pengkalan data dan rekod pemilikan rumah bagi mengelak individu membeli sewenang-wenangnya.

"Kami tidak selektif dalam hal ini. Tidak semestinya orang kaya akan membelinya. Boleh jadi pembeli orang dari golongan berpendapatan rendah, tapi taraf keluarga dah bertambah baik atau anak dia sudah berjaya, dia berkongsi untuk beli rumah tersebut. Kita akan kaji semuanya, akhirnya akan ada rumah yang cukup untuk semua orang," katanya lagi.

Menurut Khalid lagi, perbincangan dan kajian masih dilakukan sebelum polisi yang efektif dan menyeluruh dapat dikeluarkan.

"Masalahnya yang utama ialah projek terbengkalai. Kalau tandantangani polisi pun tak selesai sebab pemaju lari. Sebab itu kita kata Selangor akan tengok secara pragmatik untuk selesaikan masalah," katanya.

No comments:

Post a Comment