Sunday, January 23, 2011

Rakyat rugi jika pilih calon popular tapi rasuah

Shamsul : Hanya Popular Tidak Cukup


SHAH ALAM 23 Jan. : Popular sahaja tidak cukup kalau calon yang dipilih gagal membawa suara rakyat di kawasan yang diwakili, kata Pengerusi Pimpinan PKR Melaka Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Malah sudah menjadi trend, Umno-BN tidak pernah peduli sekiranya calon mereka pada mana-mana pilihan raya terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa dan jenayah moral asalkan calon itu terkenal dan boleh memenangkan parti itu.

Berbeza dengan Pakatan Rakyat, penekanan diberikan kepada kemampuan calon dalam memikul tanggungjawab di samping imej yang bersih dan bukannya atas dasar popular.

" Populariti tidak semestinya menjadi kayu pengukur atau pun tanda aras dalam setiap pilihan raya. Yang penting adalah calon yang kita pilih itu merupakan calon yang benar-benar bersih, berintegriti dan yang paling penting ianya sanggup untuk bergelumang dengan permasalahan masyarakat," ujar Shamsul kepada Tv Selangor.

Shamsul berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Ali Rustam yang juga Pengerusi BN Melaka bahawa calon popular akan dipilih untuk meneruskan legasi pentadbiran BN.

Di DUN Merlimau selepas penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan meninggal dunia akibat serangan jantung pada Jumaat.

Menurut Ali Rustam, pihaknya akan memilih calon yang boleh menang, senada dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang buat kali pertama secara terbuka menyatakan pendirian BN dalam memilih calon.

Najib pada 16 Januari secara terang-terangan menolak semua calon yang berpotensi yang dicadangkan sekiranya calon tersebut tidak boleh membawa kemenangan kepada BN pada pilihan raya negeri Sarawak.

Kenyataan Najib itu kemudiannya diselar oleh penasihat DAP, Lim Kit Siang yang menyifatkan Najib sebagai mengamalkan kuasa veto dalam pemerintahannya.

"Nampaknya (dengan pengumuman itu Najib) meletakkan kriteria utama iaitu boleh menang tidak kira kesesuaian, tidak kira sama ada bersih, ada integriti atau terlibat dengan penyelewengan atau korupsi," kata Kit Siang.

Malah menurut ahli parlimen Ipoh Timur itu, kenyataan Najib itu sekaligus memberi gambaran Perdana Menteri Malaysia itu akan menggunakan sepenuh kuasa yang dimilikinya untuk menentukan calon BN tanpa mempertimbangkan nama lain yang dicadangkan oleh parti komponen BN.

"Jadi siapa yang akan menggunakan kuasa veto untuk calon-calon Umno? Adakah parti-parti komponen BN yang lain ada kuasa veto kalau ada calon-calon Umno mereka rasa tidak boleh menang kawasan itu?," tambah Kit Siang.

Sementara itu, menurut Shamsul, faktor calon popular tidak akan menjadi ketakutan kepada Pakatan Rakyat kerana gagasan itu yakin dapat menambat hati pengundi di DUN Merlimau yang semakin tertekan dengan kos sara hidup yang tinggi.

" Beban ekonomi ini ada kaitannya dengan dasar dan polisi kerajaan Barisan Nasional yang telah melaksanakan tindakan-tindakan menaikkan harga barang dan sebagainya dan tentunya yang tentulah telah memberikan kesan yang besar kepada pendapatan dan juga pembangunan sosio-ekonomi di kalangan pengundi-pengundi di DUN Merlimau ini," tambah Shamsul.

Malah Shamsul memberi amaran kepada BN terutama Ali Rustam agar tidak hanya menabur gula-gula politik kerana rakyat Melaka katanya sudah lama memerhatikan prestasi Ali Rustam.

" Masyarakat akan menilai sejauh mana mereka (BN) benar-benar mempunyai visi ataupun wawasan untuk membangunkan Merlimau ini," kata Shamsul.

No comments:

Post a Comment