Monday, January 10, 2011

Safee Sali bakal bermain untuk kelab Indonesia

Safee pilih aksi luar negara

PETALING JAYA, 10 Jan. : Penyerang kebangsaan, Safee Sali melahirkan keinginannya untuk mencuba nasib pada aksi liga luar negara di Indonesia kerana menganggap ia peluang terbaik untuk mengembangkan kerjaya bola sepaknya ke tahap yang lebih tinggi.

Menurutnya, dia sudah 70 peratus hampir pasti akan berhijrah, namun terserah kepada perkembangan perbincangan yang bakal diadakan di antara Selangor dan kelab-kelab yang berminat.


Safee bagaimanapun menegaskan keinginannya untuk berhijrah bukan kerana Liga Malaysia tidak berkualiti, cuma dia berharap dapat bermain dalam liga antarabangsa, kerana menyedari kerjaya bola sepak adalah bersifat sementara.

"Sebagai pemain profesional, kalau tak rebut peluang sebegini, rugilah. Peluang ini tidak datang selalu.

"Kalau dapat bermain di luar, baru saya boleh uji kebolehan diri yang sebenar, di samping dapat mengembangkan cara permainan dan prestasi saya," katanya kepada pemberita pada majlis meraikan pemain skuad negara yang menjuarai Piala AFF Suzuki 2010 anjuran Nike di sebuah kompleks beli belah terkemuka di sini semalam.

Menurut pemenang Kasut Emas Piala AFF Suzuki itu, tiga kelab Liga Super Indonesia (ISL) berminat mendapatkan khidmatnya iaitu Persib Bandung, Persib Balik Papan serta Pelita Jaya.

Tambahnya, sebuah lagi kelab Vietnam bagaimamana pun tidak meneruskan hasrat mereka.

"Saya difahamkan tiga kelab liga Indonesia masih berminat dan saya menyerahkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk menguruskan segala pebincangan perpindahan," jelasnya.

Safee masih mempunyai kontrak bersama Selangor sehingga November depan.

Kelab-kelab yang mahu mendapatkan Safee dijangka perlu menebus kontraknya untuk membolehkan perpindahannya berlaku.

Menurut Safee, seandainya perjanjian perpindah tercapai, dia tidak akan berhijrah dalam tempoh terdekat dan masih sempat bermain beberapa perlawanan untuk Selangor.

Ini kerana, katanya, Liga Indonesia dijangka akan bermula pada Mei tahun ini.

Ditanya mengenai kelab mana yang ingin disertainya, Safee memilih Persib Bandung kerana jaraknya yang dekat dengan tanah air di selain dia juga masak dengan persekitaran di wilayah tersebut.

"Saya juga mungkin membawa isteri dan anak bersama, tapi tengoklah keadaan dulu," jelasnya.

Kecemerlangan Safee yang meledak lima gol ketika Kejohanan Piala AFF Suzuki bulan lalu, menaikkan namanya Asia Tenggara.

Rakan-rakan sepasukan seperti ketua pasukan Syafiq Rahim dan Norsharul Idlan Talaha turut dikaitkan dengan beberapa kelab di Indonesia.

No comments:

Post a Comment