Sidang 24 Jan diteruskan jika 1/3 Adun hadir
SHAH ALAM, 19 Jan: Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor pada 24 Januari ini akan diteruskan sekiranya cukup satu pertiga daripada ahlinya hadir, kata speaker, Datuk Teng Chang Khim.
Menurut Teng, mengikut peraturan tetap dewan dan Undang-undang Tubuh Negeri, sidang boleh diteruskan apabila kehadiran Adun cukup satu pertiga daripada jumlah Adun, tidak termasuk speaker.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita mengenai adun BN yang dikatakan tidak akan menghadiri sidang berkenaan.
"Mengikut peraturan tetap dan juga mengikut Undang-undang Tubuh Negeri, selagi ada satu pertiga yang hadir maka kita cukup korum untuk mengadakan mesyuarat iaitu satu per tiga daripada jumlah ahli dewan kecuali speaker," katanya pada sidang media di Dewan Annex, dekat sini hari ini.
Sidang Dun ini bagi membentangkan cadangan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 atau Perlembagaan Negeri.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memperkenan cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim untuk mengadakan sidang berkenaan.
Teng juga berkata, tidak timbul soal sidang tidak dapat diteruskan tanpa kehadiran Adun BN kerana apa yang penting satu pertiga ahli hadir untuk membolehkan mesyuarat berlangsung.
Ujarnya, undi dua pertiga juga tidak diperlukan untuk meminda Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor.
"Itu bukan masalah saya. Kalau cukup korum satu pertiga daripada ahli hadir maka saya akan mulakan mesyuarat. Kalau katakan ada pindaan perlembagaan maka undi dua pertiga diperlukan.
"Kalau tidak ada pindaan perlembagaan, hanya ada sama ada pindaan kepada enakmen ataupun hanya ada rang undang-undang yang baru maka ia tidak memerlukan dua pertiga tapi hanya majoriti mudah.
"Setakat ini saya tidak pasti lagi dan itu harus ditanya kepada menteri besar," katanya.
Khalid sebelum ini berkata, pindaan yang dilakukan kerajaan Selangor berhubung Perkara 52 di Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan menggantikan Fasal (1) dengan Fasal yang baru.
Pindaan itu bagi mengembalikan semula prosedur untuk pelantikan tiga penjawat awam itu seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Negeri sebelum ia dipinda pada 1993.
No comments:
Post a Comment