Tuesday, January 11, 2011

Tanah orang Rembau nak kena rampas, Khairy pi mana?

Penempatan Warisan Melayu Kg Chembong Terancam, MP Rembau Buat Tak Tahu


REMBAU 12 Jan.: Penempatan warisan Melayu Kampung Chembong, Rembau terancam apabila rampasan tanah secara tidak sah bagi membuka laluan kepada pembinaan landasan keretapi berkembar elektrik atau PLBE.

Seorang warga emas menceritakan detik cemasnya berhadapan dengan pihak berkuasa yang mendesak beliau keluar dari rumahnya, tanpa hitam-putih yang menjanjikan pampasan sewajarnya.

Awal pagi semalam seorang warga emas Hasnah Latip, 80, mempertahankan rumah dengan sebatang penyapu buruk ketika pegawai kepada Ahli Parlimen Rembau, polis dan Ikatan Relawan Rakyat(RELA) untuk merobohkan rumahnya.

"Saya turun lompat ke situ. geram sungguh, saya dah nak pegang penyapu dah, rakyat didahulukan, ye lah tu. Rakyat ditanamkan, dia tanam dalam
longkang. apa nak jadi jadilah, saya dah tak peduli," katanya kepada Tv Selangor.

Hasnah juga melahirkan rasa kecewa terhadap wakil rakyat Barisan Nasional yang tidak ambil berat terhadap dirinya walaupun beliau menyokong Barisan Nasional selama ini.

Hasnah memberitahu beliau bersedia untuk berpindah asalkan kerajaan Umno-BN memberi pampasan tanah dan sebuah rumah sebagai ganti kepada
tanah adat yang didudukinya sekarang.

Apa yang merunsingkan adalah tiada pihak yang bersedia menjanjikan pampasan sebegitu secara bertulis. Meskipun Hasnah dijanjikan gantirugi RM97,000 ringgit, namun jumlah itu termasuk pembayaran kepada peguam.

Dengan nilai tanah dan pembinaan rumah yang amat tinggi, jumlah itu sekadar membantu beliau hidup menyewa sehingga tulang empat-kerat tidak lagi mengizinkannya bekerja.

"Kita takut kerana salah, berani kerana benar. Saya tak dapat pun takpa, saya dah biasa hidup miskin. tapi saya mahukan keadilan," katanya.

Kes Hasnah adalah kes terbaru dalam pergelutan antara penduduk Rembau dan Kerajaan Persekutuan yang berlarutan sejak 2008 lagi.

Ketua PKR Cabang Rembau Badrul Hisham Shaharin berkata Pakatan Rakyat dan jawatankuasa bertindak setempat berusaha mendapatkan penyelesaian sejak projek PLBE digerakkan.

Wang ganti rugi ditawarkan pada harga serendah RM1.20 hingga RM1.50 bagi setiap satu kaki persegi. Perobohan dijalankan sewenang-wenangnya, dan tanah yang dirampas tidak diganti.

"Mereka menggunakan akta tanah untuk pecah rumah ikut suka dan langsung tidak dibayar ganti dengan setimpal. Ini tanah adat Melayu. Akta tanah ini menjanjikan tanah yang diambil satu depa diganti dengan satu depa supaya tanah orang Melayu tak pupus.

"MP Rembau berjanji untuk bela dan bawa peguam mereka. Kami tak kisah asalkan mereka terbela. Tiba di mahkamah, peguam yang dilantik ini tidak membela orang kampung. Mereka hadir dan memperakui sahaja tanpa sebarang hujah di mahkamah," Badrul.

Kampung Chembong adalah diantara beberapa perkampungan yang diteroka seawal 500 tahun dahulu. Tapak yang terletak di tanah adat ini menjadi tempat anak suku dan saudara semenda berlindung, bertemu dan mengadakan kerapatan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani, usaha Pakatan Rakyat membawa kes ke perhatian kerajaan negeri juga tidak mendapat perhatian sewajarnya.

"Mungkin ada cara untuk kita bantu, melalui mengadakan pertemuan dengan pihak berwajib. Setakat ini tiada reaksi dari MB seolah-olah beliau tidak mahu ambil tahu," katanya.

Beliau meminta Umno-BN supaya sekurang-kurangnya menggesa pihak pemaju supaya mengendalikan usaha pembinaan di tanah-tanah orang kampung dengan penuh cermat sepertimana yang diberikan kepada tanah milik keluarga Ahli Parlimen Rembau.

No comments:

Post a Comment