Thursday, January 6, 2011

Tawaran lebih RM 9 bilion ambil alih konsesi air

Kerajaan Selangor Tawaran Ambilalih Syarikat Konsesi Air



SHAH ALAM 6 Jan. : Kerajaan Selangor telah mengeluarkan dokumen tawaran bagi mengambilalih 100 peratus aset konsesi syarikat konsesi air di negeri itu yang bernilai lebih RM9 bilion.

Tawaran terbaru itu melibatkan pengambilalihan empat syarikat konsesi air di negeri itu.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pengambilalihan itu meliputi semua aset dan liabiliti syarikat.

"Tawaran ini melebihi RM9 bilion ringgit untuk membeli ekuiti dan saham-saham dan untuk kita memiliki sepenuhnya operasi air di negeri Selangor yang meliputi urus niaga yang dilakukan di Wilayah Persekutuan termasuk Bandaraya Kuala Lumpur dan Putrajaya.

"Kerajaan Selangor sekali lagi menegaskan pendekatan ini dilakukan berpandukan kepada Akta Perkhidmatan Industri Air 2006 dan dasar air kebangsaan- bahawa industri perkhidmatan air yang sekarang ini berpecah-pecah, perlu disatukan dan diuruskan secara holistik oleh kerajaan negeri," kata Khalid.

Tawaran pengambilalihan 100 peratus itu membabitkan saham empat syarikat konsesi itu pada harga RM64.62 sesaham untuk Puncak Niaga Sdn Bhd, RM20.78 sesaham untuk Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), RM5.95 untuk Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASh) dan RM9.39 Abbas Sdn Bhd (ABBAS).

"Nilai-nilai yang ditawarkan ini dibuat melalui proses yang diteliti oleh firma audit profesional mengikut piawaian sekuriti antarabangsa," ujar Khalid lagi.

Menurut Khalid lagi, pemindahan aset air negeri kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), selaras dengan dasar air kebangsaan dan amalan negara ini.

Malah ujarnya, kerajaan negeri juga telah mengambilkira segenap aspek dalam pengambilalihan syarikat konsesi ini sejajar dengan komitmen yang ditunjukkan kerajaan negeri di bawah pimpinannya itu.

"Kerajaan negeri berpendapat tawaran ini adil dan wajar untuk pengambilalihan syarikat sejajar dengan komitmen kami untuk mengambilalih semua aset dan tanggungjawab syarikat. Ini juga memberi pulangan yang adil kepada pemegang-pemegang saham dalam syarikat terlibat," jelas Khalid.

Tambah beliau, dalam dokumen yang dihantar juga turut mengandungi satu fasal terpenting yang membolehkan syarikat konsesi membawa perkara berkenaan ke Timbang Antarabangsa (International Arbitration) sekiranya tidak berpuas hati dengan tawaran yang diberikan.

Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini membuat tawaran untuk membeli keempat-empat syarikat konsesi air di Selangor namun telah ditolak.

Namun berkat perjuangan rakyat menuntut keadilan dalam isu kenaikan tarif air dan penswastaan perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kerajaan Negeri Selangor akhirnya diberikan laluan untuk mengemukakan semula tawaran membeli aset air di negeri itu.

Untuk rekod, kerajaan negeri sebelum ini menawarkan RM5.7 bilion untuk mengambil alih seluruh aset dan pegangan saham milik kerajaan negeri namun dibantah kerajaan pusat dan meminta pampasan RM10 bilion.

No comments:

Post a Comment