LABIS 21 Jan.: Pakatan Rakyat menyuarakan rasa dukacita dengan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menukar lokasi tiga pusat mengundi DUN Tenang sehari sebelum tarikh penamaan calon berlangsung.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali yang ditemui Tv Selangor dipetik sebagai berkata, keputusan tersebut memberi masalah kepada pengundi-pengundi di kawasan itu berikutan lokasi yang lebih jauh.
"Saya pernah menyatakan perubahan di saat akhir tidak begitu baik. Sepatutnya ini dimaklumkan lebih awal kepada kami supaya boleh membuat persiapan. Jadi apabila saat akhir tidak begitu bagus kepada pengundi sebab perubahan tempat ini lebih satu kilometer," jelas beliau selepas perasmian Jentera Muslimat PAS di sini petang tadi.
Perkara pertukaran lokasi mengundi itu diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Azri Yusof pagi tadi.
Pusat mengundi yang terklibat adalah SK Labis, SJKC Labis dan SJKT Labis.
Mustapha turut tidak menolak cubaan pihak tertentu mengurangkan undi kaum Cina kepada PAS.
"Saya tidak tahu apakah muslihat perubahan ini sebab SPR ini ada cara yang kita rasa tidak begitu menepati apa yang sepatutnya dilakukan," ujar beliau lagi.
Mustapha menambah Pakatan Rakyat akan membawa perkara tersebut supaya dibincangkan pada mesyuarat bersama SPR 24 Januari nanti.
Pada mesyuarat Pakatan Rakyat bersama SPR minggu hadapan, Mustapha bersama kepimpinan PKR dan DAP akan membincangkan empat isu penting iaitu tentangan 100 peratus undi proksi, undi pos, persempadanan pilihanraya cukup tempoh dan penukaran lokasi mengundi.
Sementara itu, Pengerusi Badan Bebas Pemantau Pilihanraya Malaysia(Marfel), Syed Ibrahim Syed Noh ternyata kecewa kerana perubahan ini seolah-olah sudah menjadi trend kepada SPR.
"Saya lihat sudah menjadi satu trend dimana pemakluman pemindahan pusat mengundi ini dibuat hampir kepada pusat penamaan calon atau proses mengundi. Perkara ini sepatutnya ada ruang kepada parti-parti mengemukakan pandangan mereka berkenaan pemindahan ini.
"Memang betul ini dibawah kuasa SPR, tetapi saya rasa lebih baik mereka dapat pandangan daripada parti politik. ini dapat mengelakkan dari tanggapan dan kekeliruan khususnya kepada pegundi-pengundi pada hari mengundi," katanya.
"Dalam aspek pemantauan pilihanraya, kami (mafrel) melihat dalam konteks senarai daftar mengundi. Dengan berlakunya pemindahan ini, maknanya senarai daftar itu pun kita perlu dapat yang terkini supaya kita tahu benar-benar siapa dibawah pusat itu ialah pengundi-pengundinya.
Tambahnya apa yang membimbangkan perubahan saat akhir ini akan membuatkan pengundi keliru.
"saya rasa ada keburukan kerana tempoh masa diberi singkat. Jadi kita bimbang pengundi akan terkeliru. Memang benar mereka boleh datang pada hari mengundi itu. Tetapi mereka yang biasa pergi mengundi di situ(yang ditutup), dan dipindahkan ke tempat lain. Kemungkinan di sana akan berlaku sedikit kekecohan dan pengundi terpaksa mencari tempat baru," ujarnnya.
Kata Syed Ibrahim, perkara seperti ini boleh dielakkan sekiranya pemindahan ini dilaksanakan lebih awal. Bermakna setelah diumumkan kekosongan kerusi DUN contohnya, SPR terus buat kajian dan memanggil parti-parti untuk memaklumkan tentang perpindahan dan mengapa dipindahkan.
No comments:
Post a Comment