Friday, January 14, 2011
Tok Guru Nik Aziz simpati kepada rakyat Malaysia di Queensland
KOTA BHARU, 13 Jan 11: “Insya allah, kita akan mempertimbangkan kaedah-kaedah yang sesuai untuk menyampaikan bantuan setakat termampu kepada warga Malaysia di sana,” ujar Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau melahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di Queensland, Australia. “Saya mengucapkan takziah dan menyatakan rasa simpati bagi pihak Kerajaan Negeri Kelantan kepada warga Malaysia yang terlibat dengan bencana banjir di Queensland, Australia,” ujarnya dalam satu kenyataan ringkas. Beliau yang juga Mursyidul Am PAS, berharap semoga mereka bersabar dengan ketentuan Allah Taala.
Difahamkan terdapat kira-kira 500 warga Malaysia di Queensland. Sejak Disember 2010, Australia dilanda banjir besar yang tertumpu di negeri Queensland termasuk ibu negeri Brisbane.
Banjir tersebut telah memaksa ribuan penduduk mengosongkan bandar-bandar yang terjejas. Sekurang-kurangnya 31 bandar dan lebih 200,000 orang terjejas oleh banjir ini.
Pada 30 Disember, sebahagian besar kawasan Queensland Selatan dan Tengah, iaitu kawasan seluas jumlah gabungan keluasan Jerman dan Perancis, sudah terjejas akibat banjir.
Sekitar 300 batang jalan raya ditutup, termasuk sembilan lebuhraya kebangsaan. Landasan keretapi pengangkut arang ditutup dan banyak tapak perlombongan yang dilanda banjir.
No comments:
Post a Comment