LABIS 28 Jan.: Antara sebab mengapa rakyat perlu bangkit menolak Umno-Barisan Nasional (BN) adalah kerana parti yang mendokong prinsip ketuanan Melayu itu menolak Islam dalam aspek pemerintahannya menurut Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.
Justeru beliau menyeru agar masyarakat Melayu khususnya di negeri Johor keluar dari kepompong slogan Umno-BN "Dulu, Kini dan Selamanya" di samping menjadikan Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang sebagai platform terbaik meninggalkan parti itu.
"Semata-mata mahu menyelamatkan negeri Johor supaya orang Melayu di sini terbuka mindanya dan semoga keluar dari kepompong menyokong Umno. Yang ini kita rasakan satu kezaliman yang besar kepada orang Melayu," jelas beliau.
Dalam ceramahnya di Taman Labis Indah semalam, Nizar menyifatkan empat negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat memberi kebebasan kepada masyarakatnya berfikir dan membuat keputusan demi kepentingan negara.
Tambahnya, sentimen perkauman yang dijadikan modal oleh Umno-BN dalam kempen pilihanraya tidak relevan kepada masyarakat majmuk di Malaysia yang sudah faham akan kesepaduan antara kaum.
Jelasnya lagi, ideologi menakut-nakutkan semua bangsa tentang kehilangan kuasa sekiranya Pakatan Rakyat diangkat menjadi kerajaan Malaysia tidak diterima pakai.
"Penipu yang besar. Bila pula Kelantan yang Umno kalah, orang Melayu hilang kuasa. Menteri Besar Selangor juga masih orang Melayu. Masalahnya Mahathir menipu. Orang Melayu ingat dia cakap betul," katanya.
Beliau turut mengambil contoh revolusi pengundi yang berlaku di Bukit Gantang, Perak di mana 98 peratus masyarakat Cina menyokong PAS-Pakatan Rakyat.
"Dia bukannya Perdana Menteri Umno tapi Perdana Menteri Malaysia. Kalau orang Malaysia mahu tukar kerajaan itu hak mereka," ujar Nizar.
Sementara itu, Nizar berkata, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak kini meletakkan diri dalam suasana yang cukup mengelirukan rakyat.
Ini berikutan menurut beliau, Najib mengepalai rampasan kuasa di negeri Perak terdahulu yang dengan jelas menolak amalan demokrasi sekaligus tidak mahu mengiktiraf keputusan yang dibuat oleh rakyat.
"Sampai bila kita mahu duduk di negara kita dengan suasana sedemikian? 53 tahun kita mengalami penderitaan di bawah Umno. Anak cucu kita mahu duduk ratusan tahun lagi. Mahukan mereka mahu hidup dalam suasana sedemikian," katany
Kempen Pilihanraya Kecil DUN Tenang masuk hari ke 6 menyaksikan kedua-dua parti memperhebatkan jentera mendekati hati pengundi.
Parti Pakatan Rakyat terus mengadakan sesi penerangan pada setiap malam di sekitar bandar Labis, termasuk tiga tanah rancangan Felda yang menjadi tumpuan sebilangan besar pengundi Melayu.
PAS-Pakatan Rakyat meletakkan Normala Sudirman sebagai calon wanita PAS pertama di negeri Johor menentang satu lawan satu calon Umno-BN, Azahar Ibrahim.
Baru-baru ini PAS turut mendedahkan kes mahkamah calon BN, Azahar Ibrahim yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dengan melelong tanah Mansor Mohamad tanpa kebenaran.
Pembeli tanah, Rohana Mohd Ali turut menyaman Azahar RM1.5 juta kos gantirugi dan Mahkamah Tinggi Muar menetapkan tarikh 7 Februari 2011 sebagai tarikh sebutan kes.
No comments:
Post a Comment