Ibu remaja itu, Norhayati Mokhtar, 43, berkata, dia menyedari anak bongsunya, Intan Liana Abu Bakar, 15, hilang apabila remaja itu tidak pulang ke rumah selepas tamat waktu persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al Baqir, Bagan Serai.
Menurutnya, pada pagi hari kejadian, Intan Liana atau lebih mesra dengan panggilan Yana dilihat hanya memakai baju-T dan berseluar sukan.
“Apabila ditanya, Yana memberi alasan tidak mengapa berpakaian begitu kerana masih di awal persekolahan.
“Pada pagi itu, saya ada berpesan kepada Yana supaya pulang awal kerana hendak membawa dia berjumpa doktor bagi merawat penyakit sesak nafas yang dihidapinya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Norhayati berkata, dia berasa tidak sedap hati apabila Yana yang bermotosikal ke sekolah tidak pulang seperti pelajar lain.
Menurutnya, namun, pada jam 6 petang, dia menerima Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dari Yana yang menyatakan anaknya itu berada di rumah kawan perempuannya dan meminta Norhayati tidak perlu berasa bimbang.
“Selepas itu, saya cuba menghubungi anak saya namun, gagal kerana telefon bimbit Yana telah dimatikan,” katanya.
Sementara itu, bapa Yana, Abu Bakar Mustafa, 44, berkata, pada keesokan hari, dia dan isteri pergi ke sekolah untuk bertanyakan perihal anaknya, namun pihak sekolah memberitahu bahawa Yana tidak hadir pada Isnin lalu.
Katanya, perkara itu menambahkan kebimbangannya dan terus membuat laporan polis mengenai kehilangan itu.
“Sehingga kini kehilangan anak saya masih menjadi tanda tanya dan kami sekeluarga tetap berusaha mencarinya,” katanya.
Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai remaja itu diminta menghubungi Norhayati di talian 012-5843783, Abu Bakar 019-5748618 atau balai polis berdekatan.SH
Boleh tengok gambar lain di sini
No comments:
Post a Comment