Sunday, January 30, 2011

Tulisan ayat al-Quran dan hadis dalam buku doa ghaib di Terengganu

Tulisan dalam buku doa ghaib

ALOR LIMBAT, 31 Jan. : Seorang wanita yang juga guru mengaji dari Kampung Belukar Sukai, Beladau Kepong terkejut apabila mendapati tulisan ayat al-Quran dan hadis di beberapa helaian buku doa haji dan umrah miliknya hilang.

Kejadian ini disedari ketika Aisyah Deraman, 59, membaca buku itu selepas sembahyang Isyak Isnin lalu dan dia mendapati tulisan di beberapa helaian buku lenyap walaupun sebelum ini tulisan tersebut ada dan boleh dibaca.

“Saya tidak pernah melihat helaian kosong sebelum ini. Jika ia hilang disebabkan tindak balas kimia, mengapa hanya lapan helai sahaja yang hilang dan tidak di muka surat lain,” katanya semalam.

Lebih mengejutkan, Aisyah berkata, apabila buku itu diserahkan kepada seorang peniaga, Malek Mustaffa, 43, pada Rabu minggu lalu untuk disimpan, Malek memberitahu bahawa tulisan pada empat lagi helaian dalam buku tersebut didapati hilang selepas itu.

Aisyah yang lebih mesra dikenal sebagai Kak Mah oleh penduduk setempat berkata, dia membeli buku tersebut 10 tahun lalu dan membacanya sebanyak tiga atau empat kali dalam tempoh seminggu.

Menurutnya, buku itu disimpan dengan baik dan tidak pernah terkena air atau bahan kimia.

“Kehilangan ayat dalam buku doa itu disifatkan pelik walaupun sebelum ini saya pernah mendengar dan membaca di akhbar mengenai ayat suci pada helaian al-Quran hilang,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian menemui Malek untuk melihat lebih dekat naskhah buku himpunan doa tersebut dan mendapati tiada kesan ia sengaja dipadamkan atau kemungkinan helaiannya sengaja ditukarkan.

Malek ketika ditemui Sinar Harian di Masjid Pengadang Baru di sini, turut menyifatkan ia sesuatu yang luar biasa dan kehilangan tulisan di helaian buku itu pula baginya mungkin sebagai satu peringatan kepada umat Islam.

“Walau apa pun yang berlaku hanya Allah SWT sahaja yang tahu dan Dia maha berkuasa ke atas segala sesuatu dan ini mungkin peringatan kepada kita sebagai umat Islam,” katanya.



Mungkin sebab tindakbalas kimia: Imam Besar

Kejadian tulisan di beberapa helaian buku Himpunan Doa, Haji dan Umrah milik seorang guru mengaji di Kampung Belukar Sukai, Beladau Kepong, Marang hilang secara tiba-tiba mungkin disebabkan oleh faktor kimia.

Imam Besar Terengganu, Aizi Saidi Abd Aziz berkata, perkara tersebut boleh berlaku sekiranya dakwat yang digunakan untuk mencetak buku terbabit kurang berkualiti sekali gus menyebabkan ia tidak mampu bertahan lama.

Menurutnya, ia bukanlah satu perkara pelik atau aneh kerana kejadian helaian buku menjadi kosong kerana tulisan hilang secara tiba-tiba pernah berlaku sebelum ini dan ia dipercayai berpunca daripada tindak balas kimia.

Bagaimanapun Aizi Saidi berkata, walau apa juga puncanya, orang ramai khususnya yang beragama Islam perlu mengambil iktibar dan pengajaran daripada kejadian itu kerana ia pernah dinyatakan dalam al-Quran.

“Dalam agama, kita perlu ambil iktibar daripada setiap apa yang berlaku dan ia mungkin ada kaitan dengan amalan kita selain keadaan ajaran Islam sekarang yang nampaknya kurang dipraktikkan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di Kuala Terengganu, semalam.



Umat Islam perlu ambil iktibar: Mustaffa Kamal

Pengerusi Ikatan Pendidikan Tauhid Tasawuf (Iptaf), Mustaffa Kamal Hamzah menganggap kejadian tulisan di beberapa helaian buku doa hilang sebagai peringa-tan daripada Allah SWT.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam mengambil iktibar daripada kejadian yang berlaku kepada buku doa tersebut yang dimiliki seorang guru mengaji wanita dari Kampung Belukar Sukai, Beladau Kepong itu.

Menurutnya, insiden itu boleh dikatakan sesuatu yang agak pelik kerana tulisan hilang secara tiba-tiba dan ketika zaman kanak-kanak beliau pernah mendengar kejadian sama berlaku kepada al-Quran.

Mustaffa Kamal berkata, Allah boleh menunjukkan kekuasaannya sebagai pencipta alam ini kepada manusia dengan pelbagai cara dan kes tersebut mungkin salah satu daripadanya.

“Jadi, kita kena ambil berat terhadap perkara ini dengan sentiasa membaca al-Quran, jangan leka hingga melupakan al-Quran.

“Ini penting kerana satu hadis ada menyebut bahawa kita perlu sentiasa membaca al-Quran sebelum al-Quran diangkat oleh Allah” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di Kuala Terengganu, semalam.SH

No comments:

Post a Comment