Monday, January 10, 2011

Umno kurang perayu undi, minta tolong guru-guru ?

Sokong Penjawat Awam Berkempen Untuk Kerajaan, Tindakan Terdesak BN



SHAH ALAM 10 Jan.: Salahuddin Ayub menyelar kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi kerana menyokong tindakan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran yang merayu undi di sekolah-sekolah sekitar Johor baru -baru ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai terdesak dan tidak profesional apabila seorang penjawat awam dibolehkan untuk berkempen di sekolah-sekolah bagi meraih undi.

"Sampai ke tahap seperti ini menggunakan penjawat awam, adakah mereka kekurangan juru kempen atau kehabisan modal untuk berkempen dan menggunakan pengarah pelajaran negeri untuk mereka. Ini tindakan terdesak.

"Itu menyalahi etika, seharusnya kalau dia benar-benar berminat untuk berkempen dia perlu menanggalkan pakaian penjawat awam itu dan cuba berpolitik. Itu lebih beretika dan bersesuaian kalau kita nak berlawan dengan mereka," kata Naib Presiden PAS itu ketika dihubungi Tv Selangor.

Salahuddin berkata, taktik kotor seperti ini jelas menunjukkan sikap berat sebelah kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) yang secara terang-terangan menggunakan penjawat awam untuk berkempen dan merayu pengundi di kawasan itu.

"Kalau berpihak kepada dia memang tidak salah lah. tetapi kalau untuk pembangkang itu salah dan diambil tindakan. Jadi saya rasa itu yang sebenarnya terpaksa kita alami di negara kita. sikap berat sebelah.

"Sepatutnya dia tunjukkan sifat profesional dalam menunjukkan arah tuju dan etika seorang penjawat awam. Bukan dia yang secara terang di youtube itu kita lihat jelas berkempen untuk Barisan Nasional," katanya.

Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Dr Puad Zarkashi hari ini menyifatkan dakwaan PAS bahawa Pengarah Pelajaran Negeri, Markom Giran menyalahgunakan jawatannya untuk berkempen di kalangan guru sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang sebagai gimik politik.

Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS Johor, Mazlan Aliman telah membuat satu laporan polis terhadap Markom Giran kerana melanggar tatacara sebagai penjawat awam dengan mengajak pengetua dan guru sekolah di sekitar DUN Tenang merayu undi bagi memenangkan umno barisan dalam pilihan raya kecil DUN itu akhir bulan ini.

Bukti yang diperolehi menunjukkan Markom pernah berkempen di Sekolah Menengah Kebangsaan Munsyi Abdullah, Labis pada 31 Disember lalu dan empat buah sekolah kebangsaan di sekitar DUN Tenang pada 3 Januari lalu.

No comments:

Post a Comment