Wednesday, February 2, 2011

11 000 bakal jadi pembangkang, Umno mahu jadikan mereka Putera 1 Malaysia ?


PUTRAJAYA: Perbincangan Kementerian Luar Negeri bersama ibu bapa yang menuntut di Mesir hari ini bertukar menjadi hangat dan penuh emosi apabila soalan bertubi-tubi diajukan gagal di jawab dengan baik oleh pihak kementerian terbabit.

Seramai 22 anggota keluarga hadir seawal jam 2.00 petang di Wisma Putra bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung keadaan dan keselamatan anak-anak mereka yang belajar di negara bergolak itu.

Namun perbincangan itu menjadi hangat apabila setiap ibu bapa tampil mempersoalkan tindakan kerajaan yang disifatkan lemah dan
menggesa penyelesaian segera diambil.

Wakil ibu bapa turut menuntut kerajaan memberikan jaminan keselamatan ke atas anak-anak mereka.

Wakil kementerian terdiri daripada Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Richard Riot, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman dan Ketua operasi Datuk Mat Nor, malah perbincangan itu berlangsung hampir tiga jam.

Seorang ibu Wan Rohani Halim, 46, sebak apabila menceritakan keadaan dua anak lelakinya yang masing-masing berusia 15 dan 19 tahun yang kini menuntut di Kaherah.

Wan Rohani berkata keselamatan anaknya Mohd Ikramah Al-Din, 19, tidak terjamin apabila bersama-sama penduduk tempatan menjaga keamanan kawasan terbabit daripada diceroboh penjenayah.

“Saya hubungi dia Ahad lalu dia pegang pisau, kayu dan turut serta dengan penduduk tempatan jaga keselamatan di kawasan itu.

“Saya sedih dan bimbang dengan keselamatan Ikramah kerana kawasan yang didudukinya semakin huru-hara. Saya segera minta beliau pindah dengan adiknya ke Sekolah Ar-Rahim kerana saya difahamkan keadaan di situ selamat,” katanya ketika ditemui FMT.

Menceritakan pula kisah seorang lagi anaknya Mohd Qayyum Al-Din, 15, beliau berkata anaknya itu masih tidak dimaklumkan mengenai keadaan huru-hara itu.

“Anak saya dalam ketakutan. Bayangkanlah dengan umur beliau yang masih muda dan terpaksa berhadapan dengan keadaan begini pula. Saya mahu kerajaan buat tindakan cepat bagi menyelamatkan anak-anak kami,” katanya sebak.

“11,000 bakal jadi pembangkang”

Dr Muhammad Nasir Musa, 55, yang ditemui berkata tindakan lemah oleh kerajaan ini bakal menghasilkan 11,000 pembangkang.

“Anak saya dan rakan-rakannya mempersoalkan mengapa ramai yang pergi ke Tenang sedangkan rakyat Malaysia boleh bantu. Kami pula di sini tidak dibantu nak tunggu pemerintah mana sehingga kami dapat keluar?

“Ini akan hasilkan 11,000 pembangkang untuk 10 ke 20 tahun akan datang. Sedangkan anak saya menyertai kelab Umno dan anti pemerap.

Kita jangan salahkan anak-anak kita,” katanya yang turut disokong ibu bapa lain yang hadir.

Beliau turut membangkitkan kelemahan pihak kedutaan Malaysia di Mesir yang didakwa gagal bertindak pantas dalam menangai isu itu.

“Duta kita gagal berfungsi dengan baik untuk atasi masalah ini. Sepatutnya masalah ini diselesaikan oleh duta, bukan Menteri Luar Negeri. Datuk Sahlan sehingga beliau perlu pergi ke Mesir,” katanya.

Dalam pada itu, Richard Riot pula berkata pihak kerajaan sentiasa komited dalam mengangani isu itu serta menggalakkan ibu bapa untuk terus berkomunikasi dengan Wisma Putra.

Kerajaan katanya, telah menjalankan pelan tindakan memindahkan para pelajar di segenap negeri di Mesir ke Jeddah.

“Walaupun terdapat kekangan, namun kami masih mendapatkan kerjasama negara lain untuk membawa pulang pelajar dan rakyat kita dengan selamat.

“Kami membuka bilik operasi 24 jam dan ibu bapa boleh terus hubungi kami dengan memberi maklumat lanjut berhubung anak masing -masing,” katanya.

Wakil ibu bapa juga turut dibawa melawat ke bilik operasi 24 jam serta memberikan butir-butir maklumat bagi memudahkan pihak Wisma Putra mengesan pelajar-pelajar terbabit.

Media dilarang membuat liputan

Sementara itu, FMT difahamkan media seperti TV Selangor, Selangor Kini dan Suara Keadilan dilarang membuat liputan.

Menurut wartawan TVSelangor Naeem Raffi alasan yang diberikan pengawal keselamatan terbabit “Hanya media utama sahaja yang dibenarkan masuk”.

Wakil persatuan pelajar dan parti politik turut hadir hari ini bersama-sama mendesak kerajaan mengambil tindakan pantas bagi mengatasi hal ini.
Ibu bapa boleh menghubungi talian dibawah untuk mendapatkan informasi terkini daripada pihak Wisma Putra:

Bilik Operasi, Kementerian Luar Negeri
Tel: 03-88892746 / 03-88874570 / 03-88874770 /
03- 8892830 dan 019-2784566
Bilik Operasi, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah, Mesir
Tel: 00 202 3760 7375 / 00 202 3761 0270

No comments:

Post a Comment