Wednesday, February 9, 2011

ADUN BN Sarawak bohong , belajar dari Umno

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bercakap bohong ketika pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini disifatkan sebagai ‘bongkak’ kerana merahsiakan prestasi dan penerimaan sebenar masyarakat terhadap mereka.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tindakan Adun yang enggan mendedahkan perkara sebenar itu lebih menjurus kepada usaha melobi pemimpin nombor satu negara agar terus dipilih sebagai calon pada pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun, beliau yakin perdana menteri dan Ketua Menteri, Tan Sri Haji Abdul Taib Mahmud mempunyai butiran dan maklumat lengkap prestasi sebenar semua Adun di Sarawak.

“Kalau nak kelentong perdana menteri dan ketua menteri … itu tindakan yang tidak bertanggungjawab serta merugikan parti dan diri sendiri kerana kedua-dua pemimpin ini mempunyai maklumat lengkap mengenai prestasi semua Adun.

“Tindakan ini juga salah satu daripada bentuk ‘melobi’ agar mereka terus dipilih sebagai calon pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Haji Daud Abdul Rahman mengenai pembohongan segelintir Adun dalam sesi pertemuan bersama Najib ketika menyampaikan sumbangan katil khas kepada seorang warga emas yang lumpuh separuh badan di Kampung Bako Indah di sini, hari ini.

Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong juga percaya kedua-dua pemimpin parti Barisan Nasional (BN) negeri dan pusat itu berkenaan sudah mempunyai maklumat mengenai calon-calon yang bakal diketengahkan dalam pilihan raya kelak.

Dalam pada itu, Junaidi turut memuji tindakan berani Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Haji Daud Abdul Rahman yang mengkritik segelintir Adun BN yang didakwa tidak menceritakan hal sebenar di kawasan mereka.

“Selaku Naib Presiden PBB, beliau (Daud) berhak membuat teguran kerana ada segelintir wakil rakyat tidak melaksanakan tugas secara bersungguh-sungguh atau sekadar bertindak sebagai Adun ‘potong reben’,” katanya sambil menambah, setiap Adun harus menilai prestasi mereka berdasarkan pencapaian rekod pilihan raya sebelum ini.

Bagi Junaidi, tindakan melobi pemimpin atasan tidak akan menjamin seseorang wakil rakyat itu terus kekal sebagai calon pilihan raya, sebaliknya usaha ikhlas membantu rakyat adalah kunci utama untuk terus disayangi parti dan rakyat keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment