Wednesday, February 16, 2011

Anggota tentera ceritakan pengalaman rakam ' UFO '

Misteri UFO jadi bualan

http://www.telegraph.co.uk/telegraph/multimedia/archive/01380/ufo_1380509c.jpgSABAK BERNAM , 17 Feb. : Biarpun penemuan objek bercahaya terbang melintasi ruang angkasa Kem Batalion Tiga Rejimen Askar Wataniah di sini yang didakwa UFO (unidentified flying object) tidak dipastikan kesahihannya, kisah menggemparkan penduduk itu masih hangat diperkatakan.

Selepas hampir dua minggu berlalu, penemuan yang mengejutkan seorang anggota tentera kem tersebut, awal pagi Jumaat lalu, misteri dan keterujaan penduduk sekitar bercerita mengenainya terus menjadi buah mulut.

Pelbagai andaian, reaksi dan juga rumusan spontan diluahkan. Sesetengahnya menyifatkan objek tersebut sebagai sejenis bintang dan tidak kurang juga yang beria-ia merasakan penemuan tersebut ada kaitannya dengan kisah UFO yang pernah dibaca dan dilihat dalam beberapa siri dokumentari disiarkan stesen televisyen tempatan.

Mengimbas kejadian tersebut, anggota tentera terbabit, Asri Harun Abd Rahman berkata, biarpun misteri penemuannya objek terbang tersebut masih belum terungkai, dia menyerahkan kepada kebijaksanaan orang ramai menilainya.

Katanya, objek bercahaya yang sempat dirakamnya awal pagi Jumaat itu sememangnya cukup pelik dan tidak pernha dilihat sebelum ini.

Menurutnya, apa yang dilihat ketika sedang bertugas membuat rondaan jam 5.30 pagi itu adalah sebuah objek seperti piring terbang dengan cahaya seperti lampu limpah (spotlight) menerangi ruang angkasa.

“Pada mulanya objek itu mengeluarkan cahaya berbentuk bulat, mengeluarkan cahaya terang benderang dan tidak bergerak. Kebetulan ketika itu tiada satu bintang pun di situ dan saya yakin itu bukan bintang kerana tidak berkelip-kelip seperti bintang,” katanya.

Asri Harun berkata, beliau meneruskan tugas melakukan rondaan ketika kejadian berlaku dan selesai meronda kira-kira 45 minit kemudian, objek yang bercahaya itu masih dapat dilihat dan sempat merakamkan gambar objek.

“Saya sempat merakamkan gambar objek mengguna kamera telefon dan objek itu seolah-olah memahami tindakan itu dan mula bergerak dengan laju di tempat yang sama. Melihat keadaannya, saya terus merakamkan video pergerakannya.

“Terdapat beberapa bentuk pergerakan apabila objek ini diperhatikan, bermula dari cahaya bulat yang statik, berubah menjadi bentuk burung, memanjang seperti ular dan menegak. Objek ini juga mengeluarkan cahaya yang berwarna warni seperti merah, jingga, ungu, biru dan sebagainya,” katanya.

Difahamkan juga, hasil dari rakaman gambar yang diambil, terdapat beberapa gambar objek itu berlatarbelakangkan cahaya merah.

Katanya, itu adalah kali pertama melihat objek pelik seperti itu sepanjang berkhidmat di kawasan itu sejak 11 tahun lalu dan menyifatkan ia sebagai situasi pelik yang pernah dialami sepanjang hidupnya.

Asri Harun yang ketika itu masih terkejut dengan situasi itu sempat memaklumkan salah seorang rakan setugasnya, Khairul Othman, 34, yang sedang berehat di bilik kawalan dan menunjukkan ke arah objek pelik itu yang pernah didedahkan beberapa akhbar sebelum ini.

Katanya, Khairul yang melihat objek tersebut yakin apa yang dilihatnya bukanlah bintang sebaliknya sebuah objek terbang yang tidak diketahui jenisnya.SH

1 comment:

  1. An Nur 11
    Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka ak...an beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).

    An Nur 14
    Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu;

    An Nuur 15
    Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.

    ReplyDelete