Tuesday, February 8, 2011

Anggota Unit Amal cerita pengalaman dipukul, digari dan disumbat ke dalam lokap

Mangsa kekerasan polis kali pertama sertai demonstrasi

TEMERLOH, 8 Feb: Pengalaman dipukul, digari dan disumbat ke dalam lokap oleh polis tidak mudah dilupakan oleh seorang anggota Unit Amal yang menyertai himpunan membantah sokongan Amerika terhadap pemerintahan Hosni Mubarak di Kuala Lumpur Jumaat lalu.
Lebih-lebih lagi insiden buruk itu berlaku pada kali pertama beliau menyertai perhimpunan dan bertugas sebagai Unit Amal.

Sebelum ini, Hafizuddin Kamaruddin, 26, yang baru menyertai Unit Amal dari Kawasan Temerloh itu beranggapan pasukan polis mesra dan berhemah dengan orang ramai sebagaimana slogan digunakan pihak berkuasa itu.


“Namun apa yang saya alami sendiri Jumaat lalu tidak menggambarkan sedemikian,” katanya ketika ditemui Harakahdaily semalam.


Hafizuddin ialah salah seorang daripada tujuh peserta himpunan menyerahkan memorandum di kedutaan Amerika Syarikat yang telah diberkas polis selepas perhimpunan tersebut.


Menceritakan detik itu, beliau pada sebelah paginya pada hari tersebut bersama 20 orang Pemuda PAS Temerloh memakai seragam Unit Amal pergi ke Kuala Lumpur dengan tujuan untuk berkawal dan mengawal ketegangan tanpa sedikit pun terlintas untuk melakukan sebarang kekerasan.


Katanya, polis cuba menghalang perarakan daripada masjid lagi tetapi dengan kekentalan semangat Amal mereka bergerak dalam satu rantaian berjaya melepasi hadangan polis untuk ke kedutaan Amerika.


“Pada masa perhimpunan dan menyerahkan memorandum semuanya berjalan lancar tanpa gangguan. Tetapi semasa sudah bersurai dan mula beredar pulang ada polis berpakaian biasa dan berseragam polis tiba-tiba menyemburkan sejenis asap pedih. Termasuk yang menjadi sasaran ialah muslimat.


“Ia berlaku 100 meter daripada bangunan kedutaan Amerika. Saya berada di barisan belakang ketika itu dan bersama rakan-rakan lain terpaksa menerpa menghulurkan air mineral kepada muslimat yang sedang kepedihan mata dan panik.


“Kemudian polis sembur lagi kali kedua yang membuatkan orang ramai menjadi marah. Bila saya cuba menyelamatkan muslimat tiba-tiba lima ke enam orang polis pakai seragam serang saya. Saya kena tumbuk, disepak, terajang dan dipukul dengan cota sehingga bengkak di kepala, luka di bibir dan cedera di siku, katanya.


Menceritakan pengalamannya, Hafizuddin berkata, beliau kemudiannya ditahan di dalam sebuah trak polis bersama enam lagi yang ditangkap.

“Satu jam setengah kami berada dalam Black Maria, kira-kira jam 6 petang kami dihantar ke lokap Balai Polis Dang Wangi untuk diambil kenyataan,” tambahnya.

Kata Hafizuddin, selepas sembahyang Maghrib berjamaah dalam lokap barulah mereka diambil biodata peribadi. Tetapi apabila pegawai polis bertanya tentang demonstrasi mereka memilih untuk berdiam diri kerana banyak soalan-soalan provokasi yang ditanyakan.


Selepas itu mereka disoal siasat pula oleh pegawai penyiasat bernama Inspektor Lydia.


“Semasa disoal siasat kami disuruh duduk bersila atas lantai sedangkan dia duduk di atas kerusi, terasa betapa hinanya kami sedangkan kami tidak lakukan apa-apa jenayah. Masa itu kami desak untuk jumpa peguam tapi tidak dibenarkan. Dah lama barulah kami ditemukan dengan lima orang peguam.


“Kira-kira jam 11 malam kami diberitahu dapat jaminan mulut dan boleh balik.”


Jelas Hafizuddin, kenangan pahit dan pedih yang dialaminya tidak akan dilupakannya sepanjang hayat kerana sebelum ini mati-mati beliau beranggapan mesra rakyat dan bersifat pelindung.


“Kenapa apabila berhadapan dengan rakyat tiba-tiba mereka melakukan kekerasan? Sedangkan kami bukannya membawa senjata malah kami memang dah mula bersurai.


“Lagipun kami turun ke Kuala Lumpur kerana sensitif dengan pergolakan yang berlaku di kalangan negara umat Islam. Jadi kenapa sanggup perlakukan kekerasan terhadap kami?”, soalnya.

1 comment:

  1. Kekalkan dalam perjuangan dengan niat fisabillillah. Pengorbanan dan bakti anda semua akan dihisab dengan sebaik-baik penghisaban di Akhirat, InsyaAllah.

    Dan berdoalah kepada Allah S.W.T. atas kezaliman yang anda semua terima. Kerana doa orang yang dizalimi akan didengari Allah S.W.T. tanpa hijab.

    ReplyDelete