SHAH ALAM 6 Feb.: Umno-BN jelas kehabisan modal untuk memecah belahkan PR hingga sanggup berlakon menyokong parti Pas dalam cubaan terdesak untuk memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad berkata dakwaan kolumnis Utusan Malaysia, Awang Selamat bahawa kekalahan calon PAS di Tenang kononnya berpunca dari masalah-masalah yang dihadapi oleh Anwar adalah taktik jijik untuk memenuhi agenda Umno.
Malah cadangan Awang Selamat bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang patut dijadikan Ketua Pembangkang, menggantikan Anwar tidak lebih daripada satu lagi kenyataan berbentuk politik mengadu domba.
"Apa yang Awang Selamat kata itu bagi saya, memang saya lihat sebagai usaha adu domba, menjadi batu api, dan dalam usaha itu, dia macam mengakui Umno ini, Melayu pun dah tak nak dan hanya menunggu alternatif yang lagi baik, maka alternatif yang lagi baik itu PR," kata beliau.
Beliau berkata, cadangan Awang untuk menjadikan Hadi Awang sebagai ketuqa pembangkang harus disusuli dengan kesediaan Umno dan Utusan Malaysia untuk menerima kepimpinan PAS dan Pakatan Rakyat.
"Sekiranya dia nakkan Tuan Hadi melonjak menjadi pemimpin kepada PR, maka dia harus menyeru orang Melayu untuk undi Pas dan menangkan calon-calon Pas," kata beliau lagi.
Naib Presiden PKR, Tian Chua membidas kenyataan Awang dengan menyatakan Awang tidak layak walaupun untuk berbincang berkenaan isu-isu PR ataupun PKR.
"Awang Selamat tak ada kredibiliti untuk komen tentang hal ehwal pembangkang. Dia bukan pembangkang, dia pro kerajaan (Utusan), apa hal dia nak komen pasal hal ehwal PR?" tegas beliau.
Katanya Awang langsung tidak faham konsep kerjasama dan semangat perpaduan yang menjadi landasan utama Pakatan Rakyat sebagai sebuah gagasan politik.
"Bukan tempat dia untuk komen tentang macam mana PR uruskan diri, dia tak faham apa maksudnya kerjasama, apa maksudnya semangat perpaduan di dalam satu pakatan atau satu perikatan dan dia juga tidak faham fungsi Ketua Pembangkang," tegas beliau.
No comments:
Post a Comment