Tuesday, February 22, 2011

Biar menang bermaruah , bukan menang kerana rasuah

PAS mahu menang bermaruah

http://www.harakahdaily.net/v2//images/stories/cover_lead/pic_wan_zahari/dr%20hamzah1.jpg
JERANTUT – Pas Pahang mahu Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau dapat dimenangi secara bermaruah melalui kerja keras jenteranya.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Dr Hamzah Jaaffar berkata, peluang untuk Pas memenangi kerusi DUN itu ada jika Barisan Nasional (BN) berlawan secara berakhlak dan berhemah, iaitu tidak menggunakan jentera kerajaan bagi tujuan menarik hati pengundi.

Menurutnya, dalam pertandingan seumpama itu, apa yang penting ia berlangsung secara sihat dan adil untuk membolehkan rakyat akar umbi memilih kepimpinan yang dimahukan mereka.

“Saya ingin tegaskan kepada orang Melayu bahawa Islam yang menjadi dasar perjuangan Pas akan menjadikan hidup rakyat sama ada Melayu, Cina, India dan Orang Asal lebih selesa serta aman sebagaimana yang dinikmati di negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) lainnya.

“Pas dan PR juga akan menjaga hak orang Melayu serta Raja-raja Melayu lebih baik daripada UMNO jika diberi mandat memerintah dan negara juga pastinya tidak akan bankrap kerana kepimpinan dibawa adalah berlandaskan ajaran Islam,” katanya ketika menghadiri Majlis Jamuan Tahun Baru Cina anjuran DAP di Jerantut.

Turut hadir, Pengerusi DAP Pahang, Leong Ngah-Ngah; Setiausaha DAP Pahang, Choong Siew Ong dan pimpinan Pas Kawasan Jerantut.

Dr Hamzah berkata, Pas tetap yakin rakyat khususnya kaum Melayu masih bersama Pas dan PR, ditambah sokongan kaum Tionghoa dan India yang terus bertambah terhadap perjuangan mereka.

“Sokongan Melayu yang berpihak kepada UMNO/BN hanyalah kerana parti itu berjaya memutar belitkan berita mengenai Pas, yang dikatakan akan menyebabkan hilangnya kuasa Ketuanan Melayu dan keistimewaan Raja-raja Melayu jika Pas memerintah bersama PKR dan DAP.

“Namun rakyat perlu melihat, menyedari dan berfikir terhadap beberapa persoalan antaranya penghapusan Tanah Rizab Melayu yang asalnya berjumlah 3 juta hektar (pada 1957), tetapi akhirnya hanya tinggal 1.7 juta hektar (pada 1995), itu angkara siapa sama ada Pas, UMNO atau DAP yang menghapuskannya?” katanya.

Beliau berkata, selain isu tanah rizab itu, isu hilangnya saham Bumiputera sebanyak RM52 bilion, sedangkan peruntukan asalnya RM54 bilion yang kini hanya tinggal RM2 bilion itu juga perlu dilihat ia dilakukan oleh siapa.

Katanya, kesemua isu yang dibangkitkan itu perlu dilihat dan dikaji rakyat siapakah sebenarnya yang menjadi dalang, justeru pilihan raya adalah saluran demokrasi untuk rakyat memilih kepimpinan sebenar yang dimahukan mereka.

“Pakatan Rakyat tidak akan membiarkan rakyat dalam kesusahan, dengan mengutamakan kebajikan rakyat. Justeru rakyat perlulah memikirkan secara mendalam hala tuju kepimpinan yang dimahukan dalam negara ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment