SHAH ALAM 11 Feb.: Kedegilan Diktator Hosni Mubarak untuk melepaskan kuasa sebagai Presiden Mesir bakal mempercepatkan kejatuhan beliau.
Menurut Ahli Parlimen Parit Buntar Dr Mujahid Yusof Rawa, ucapan Mubarak malam tadi membuktikan beliau masih tidak mahu menurut konsensus rakyat Mesir dan hanya membangkitkan lagi kebencian mereka terhadap beliau.
Bercakap kepada TV Selangor, Dr Mujahid berpendapat usaha dan janji perubahan Mubarak langsung tidak dipedulikan rakyat Mesir yang berhimpun sejak bulan lalu menuntut Presiden mereka yang telah memegang kuasa selama 30 tahun itu meletak jawatan.
"Malangnya setakat ini, semua yang dibuat (Mubarak) tidak mendapat perhatian termasuk janji untuk letak jawatan bulan sembilan(September) tidak dilayan penduduk Mesir. Jadi kalau dilihat seperti apa yang berlaku pagi tadi walaupun awalnya dijangka letak jawatan tetapi akhirnya tidak, ia membangkitkan lagi kemarahan rakyat Mesir dan menpercepatkan lagi kejatuhannya seorang diktator seperti Hosni Mubarak," katanya.
Semalam, Mubarak berkata peralihan kuasa politik yang dipegangnya selama 30 tahun akan dilakukan sehingga September ini.
Pengumuman terbaru itu menyaksikan Mubarak masih menjadi Presiden Mesir dan memastikan regimnya terus berkuasa dalam proses reformasi pemerintahan negara itu.
Sementara itu, penunjuk perasaan yang masih menguasai Dataran Tahrir hampa dan marah apabila mereka sebelum ini dimaklumkan Mubarak akan mengumumkan peletakan jawatan tetapi sebaliknya.
"Mereka sudah tidak mahu lagi sesiapa yang terlibat dengan rejim terdahulu. Jadi saya lihat Mubarak, Omar Suleiman dan sesiapa lagi yang terpalit dengan rejim terdahulu, rakyat Mesir sudah bosan dan mahukan pentadbiran baru, pembubaran parlimen dan berakhirnya undang-undang darurat yang berlarutan dari tahun 1967," katanya.
Namun bagaimanapun Dr Mujahid menyentuh kemungkinan keadaan bakal menjadi lebih buruk selepas ini.
Hari ini, jutaan rakyat Mesir dilaporkan bakal berkumpul untuk kemuncak kebangkitan ke tiga di seluruh negara walaupun menghadapi risiko pertumbahan darah.
Menurut Dr Mujahid, revolusi kebangkitan rakyat Mesir ini tetap akan menjadi titik tolak pemecahan hegemoni pemerintahan autokratik diktator di negara-negara Arab selama ini.
"Kita tahu negara Arab ini dipenuhi kepimpinan diktator. Kebangkitan di Mesir pasti merebak ke negara Arab yang lain. Kita tengok bagaimana Jordan dah bubarkan kabinet untuk lantik Perdana Menteri Baru.
"Yaman pula sudah beritahu tidak akan teruskan kepimpinan Ali Abdullah Salleh dan saya kira nanti mungkin negara Arab di Afrika Utara akan terjadi sebegini dan lebih teruk lagi mungkin akan merebak ke negara teluk," katanya.
Friday, February 11, 2011
Egypt : Semakin degil Mubarak, semakin cepat jatuh
Kedegilan Bakal Percepat Kejatuhan Mubarak
No comments:
Post a Comment