Monday, February 7, 2011

Harga sebuah kapal peronda bernilai RM1 bilion tidak masuk akal

Kapal Peronda: Harga RM1 Bilion Tidak Logik


SHAH ALAM 7 Feb : Pembelian kelengkapan persenjataan oleh Kementerian Pertahanan tidak pernah mengikut dasar yang jelas serta perancangan yang benar-benar memanfaatkan negara, kata Badrul Hisham Shaharin.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata pembelian itu dilihat sebagai tidak logik kerana tidak mungkin harga satu kapal peronda bernilai RM1 bilion.

Beliau menganggap hal ini berlaku disebabkan cara biasa kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) yang menggunakan orang tengah untuk mengaut komisyen selain menghabiskan wang rakyat.

"Kita beli peralatan keselamatan negara, tak pernah yang murah, tapi kita hampir tak pernah memiliki sesuatu yang baru, kita selalu beli yang terpakai dan atas harga pasaran. Ini sesuatu yang lebih penting untuk ditanya.

"Malangnya kita masih guna orang tengah dalam operasi pembelian. Pertama aspek keselamatan, adakah orang tengah boleh dipercayai, kedua soal kewangan, orang tengah biasanya menghilangkan banyak bajet yang sepatutnya kita selamatkan," katanya.

Oleh itu, beliau merasakan perlunya sesuatu dilakukan bagi mengekang perkara ini kerana ia jelas menjejaskan wang dan keselamatan negara hanya demi keuntungan orang-orang tertentu.

"Masalah skandal pembelian melalui pertahanan ini saya lihat semakin hari semakin menjadi di luar kawalan Malaysia dan saya jangkakan kita tak peduli apa orang kata dan tak peduli komen pakar persenjataan atau pakar lain. Semua ini berlaku sebab masalah rasuah terutama dalam Kementerian Pertahanan itu sendiri," katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Lebih malang lagi, kerajaan dilihat hanya mahu membeli senjata dan bukannya mempertingkatkan keupayaan angkatan bersenjata Malaysia.

"Berselindung atas dasar keselamatan negara, mereka telah merompak sebenarnya rakyat Malaysia. Sebenarnya, kita tidak langsung ada perancangan, malah semua orang ada peranan beli senjata. Justeru, kita tak punya perancangan. Sebab itu saya setuju tingkatkan dari segi fizikal dan keupayaan, malangnya kita hanya lihat dari segi memiliki senjata, bukannya meningkatkan 'empowerment atau keupayaan' tentera itu sendiri," katanya.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai peruntukan RM6 bilion untuk membeli enam kapal peronda generasi kedua (SGPV) dari syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd. kelmarin.

Sebelum ini, syarikat milik kerajaan BN Pulau Pinang, Penang Shipyard and Construction Industries Bhd (PSCI) telah diberi kontrak yang serupa pada tahun 1998, iaitu membina dan membekal enam kapal peronda bagi TLDM dengan harga RM5.4 Bilion.

Tetapi, disebabkan korupsi yang kronik dalam PSCI menyebabkan PSCI tidak dapat menyiapkan kapal-kapal tersebut dan terpaksa meminta kerajaan untuk mengeluarkann modal tambahan.

Korupsi dalaman PSCI menyebabkan kerajaan terpaksa 'menjamin keluar' syarikat tersebut merombak semula pengurusan serta bergabung dengan Boustead Holding Bhd, menjadi Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

No comments:

Post a Comment