Saturday, February 26, 2011

Jika Selangor di bawah BN, jangan harap la

Kerajaan Negeri Terus Perkasa Institusi Tahfiz

SHAH ALAM 26 FEB : Kerajaan Negeri Selangor terus memberi perhatian serius kepada pembangunan prasarana dan pendidikan dalam usaha memperkasa institusi tahfiz di negeri ini khususnya melalui Majlis Permuafakatan Pendidikan Islam Selangor (MAPPIS).

Melalui perutusan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Khusrin Munawi, beliau menjelaskan bantuan yang disalurkan kerajaan negeri bukan hanya sekadar menambah baik prasarana dan kemudahan asas maahad tahfiz yang daif malah merangkumi pembangunan pengisian pendidikan untuk melahirkan para tahfiz profesional di masa hadapan.

Dalam perutusannya, Khalid menjelaskan kerajaan negeri akan memberi perhatian serius bagi mewujudkan Institusi Tahfiz yang lengkap dengan kemudahan prasarananya di setiap daerah.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan berbincang bersama pemimpin Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Negeri Selangor (PITAS) bagi menyalurkan bantuan yang dirasakan sesuai.

Khalid dalam perutusannya juga turut menekankan dua aspek penting yang harus dilakukan secara serentak di samping mengutamakan bidang hafazan.

Ia merangkumi kefahaman terhadap ajaran Islam dan pengiktirafan terhadap hadis yang dianggap sebagai penjelasan lanjut di dalam Al-Quran.

Dalam pada itu, Khalid juga meluahkan rasa gembira apabila Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan Universiti Selangor (UNISEL) menyambut baik saranan kerajaan untuk memberi peluang kepada para graduan tahfiz bagi mempertingkat ilmu dalam bidang agama dan akademik.

Turut hadir sama adalah Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Pengerusi PITAS, Dr Sahril Sartu serta disertai hampir 100 ahli tahfiz.

PITAS yang ditubuhkan pada 13 November 2003 adalah sebuah badan NGO yang bergerak serta berperanan sebagai tempat rujuk, penghubung tara dan jurubicara penyampai maklumat yang telus kepada semua pihak untuk mengetengahkan pandangan, cadangan atau apa sahaja yang berkaitan bagi mewakili suara hati pendokong Institusi Tahfiz al-Quran persendirian seluruh daerah Selangor.

Setakat ini, terdapat 102 buah institusi berdaftar di bawah PITAS dengan jumlah bilangan pelajar seramai 6865 dan dibimbing 793 tenaga pengajar.

No comments:

Post a Comment