KUALA LUMPUR, 8 Feb: Diskusi Ilmiah pergolakan Mesir yang diadakan di Pejabat Agung PAS hari ini seperti menyimpulkan bahawa krisis tersebut hanya boleh diselesaikan jika Presiden Hosni Mubarak berundur dan diadakan pilihan raya baru yang adil. Bagaimanapun, ketiga-tiga panel iaitu Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Exco Selangor, Dr. Halimah Ali dan Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa PKR, Yusmadi Yusuf, berpendapat ianya mungkin sukar ekoran pemerintahan Mesir turut dikawal kuasa besar, Amerika Syarikat. Syed Azman berkata, Amerika tidak akan membiarkan pemerintahan regim diganti pihak lain khususnya Ikhwan Muslimin-yang kini dilihat paling mendapat kepercayaan rakyat-ekoran kuasa besar itu mempunyai banyak kepentingan di negara teluk itu. Ianya termasuk kepentingan ketenteraan, masa depan negara Israel dan kepentingan minyak dan gas di negara itu. Ianya ditambah lagi, dengan sikap Amerika Syarikat yang sanggup menggadaikan prinsip demokrasi demi kepentingan strategik mereka. "Sebab itu kita dapat lihat permainan politik kuasa barat sehingga boleh membuat pengarahan khusus kepada Mesir. "Mereka terkejut dengan apa yang berlaku ini dan mereka menanamkan doktrin bahawa Ikwan Muslimin adalah bahaya dan ektrimis agama kerana tidak mahu pemerintahan regim diganti pihak lain," katanya yang juga Adun Ladang. Sementara itu, Yusmadi yang juga ahli parlimen Balik Pulau melihat perlunya wujud konsensus baru bagi mengimbangi konsensus Washington yang diguna pakai oleh kebanyakan negara di dunia yang dilihat tidak sesuai dengan tuntutan negara-negara lain. Selain itu, konsensus baru itu juga katanya mampu memberi tekanan kepada Amerika dalam isu yang sedang berlaku di Mesir. "Pada saya, inilah saatnya dengan kekuatan yang kita ada hari ini untuk panggil semua pemimpin Timur Tengah, Asia Tenggara berkumpul tak kira lah di Kelantan ke, Kedah ke untuk kita tubuhkan konsensus kita sendiri. "Parti PAS punya contoh cerminan terbaik untuk penubuhan konsensus baru ini dan perlu berkerjasama dengan parti-parti pembangkang Indonesia," katanya. Dr. Halimah pula banyak membentangkan berhubung usaha-usaha kerajaan Selangor terhadap pelajarnya di Mesir. Ianya termasuk mengkaji dan menyediakan ruang untuk pelajar-pelajar tersebut yang kini sebahagiannya telah kembali ke tanah air, untuk berkhidmat di negeri Selangor. "Kita sedang berbincang dengan Unisel, Jais dan Yayasan Selangor untuk menyediakan kursus-kursus yang sesuai untuk mereka," katanya. Diskusi ilmiah secara terbuka itu dianjurkan Harakahdaily dengan kerjasama Lajnah Antarabangsa PAS Pusat dan dipengerusikan AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaafar. Pengerusi Harakah, Datuk Mustafa Ali turut hadir dan memberi ucapan aluan sebelum perbincangan dimulakan. Lebih 50 orang sama ada individu atau mewakili pertubuhan masing-masing meyertai diskusi yang berlangsung hampir dua jam tersebut. Ketika sesi perbincangan dibuka kepada umum, masing-masing memberi pendapat menjurus bahawa kebangkitan rakyat yang bermula di Tunisia kemudiannya kini di Mesir dan beberapa tempat lain, menunjukkan bahawa sistem pemerintahan lama yang bermula sejak merdeka, kini sudah tamat tempoh dan perlu diganti. |
Tuesday, February 8, 2011
Krisis Mesir selesai jika Hosni Mubarak letak jawatan
Mesir: Perlu konsensus baru tekan Amerika
No comments:
Post a Comment