Friday, February 25, 2011

Lima pemimpin Cabang PKR di Pahang dipujuk sertai Umno

Lima pemimpin PKR dipujuk lompat parti

http://media1.malaysiakini.com/138/98153a8ca4f7b0bf3a6c9a71dccca65b.jpgPETALING JAYA – PKR mendakwa lima pemimpin cabang parti itu di Pahang dipujuk untuk 'lompat' menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau.

Setiausaha Agung PKR, Saifudin Nasution Ismail berkata, selain diri mereka, pemimpin berkenaan turut dipujuk untuk membawa bersama kira-kira 500 penyokong.

"Selain wang, mereka turut dijanjikan projek jika membuat pengisytiharan seperti yang dikehendaki," katanya.

Sehubungan itu, kata Saifuddin, pihaknya memberi amaran kepada pemimpin cabang di seluruh negara supaya jangan ambil rasuah yang didakwanya berleluasa pada setiap PRK.

“Jika gejala ini tidak dibendung, dikhuatiri ia akan menjadi asam garam politik Malaysia dan lebih menyedihkan, akan diterima rakyat,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, pada sidang media di sini, kelmarin.

Saifuddin berkata, pimpinan PKR tidak akan teragak-agak menggantung keahlian mana-mana ahli yang terbukti menerima rasuah sebegini, serta-merta.

“PKR sedang mengumpul bukti dan akan mendedahkannya dengan dokumen lengkap,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, pihak tidak bertanggungjawab mengubah taktik dengan memberi rasuah kepada pimpinan bawahan PKR kerana mereka tidak lagi berjaya memujuk pemimpin atasan.

Menurutnya, sebelum ini, memang terdapat banyak insiden rasuah seperti ini sehingga ramai pemimpin PKR sanggup bertindak keluar parti, sekali gus memberi imej tidak baik dan memudahkan lagi lawan menyerang.

“Tindakan ini amat kotor. Mereka sanggup lakukan apa sahaja, termasuk memberi rasuah, demi mencapai matlamat mereka,” katanya.

Ditanya siapa pemimpin PKR yang terlibat, beliau enggan menamakan mereka, tetapi berkata, selain lima kes di Pahang, terdapat satu kes di Melaka dan satu di Kuala Lumpur.

“Kita menolak sekeras-kerasnya cubaan jijik seperti ini. Kita akan dedahkan kepada umum siapa dalang di sebaliknya,” katanya.SH

No comments:

Post a Comment