Tuesday, February 15, 2011

Ops Lalang : Bila masa pembangkang jumpa Mahathir, dalam mimpi kot

Kit Siang : Nafi Dakwaan Bertemu Mahathir

SHAH ALAM 15 Feb.: Penasihat DAP , Lim Kit Siang hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan beliau ada berjumpa dengannya serta beberapa pemimpin pembangkang lain sebelum ditahan di bawah Ops Lalang 20 tahun lalu.

Dengan nada tegas, Kit Siang turut mencabar mantan Perdana Menteri itu untuk menamakan pemimpin-pemimpin pembangkang jika benar mereka telah ditemui sebelum penangkapan tersebut berlaku.

"Saya pun ada cadangkan untuk beliau menamakan pemimpin-pemimpin pembangkang yang beliau ada temui dan kalau betul beliau ada buat begitu, dia patut boleh ingat. Tapi sampai sekarang beliau belum boleh buat begitu," katanya.

Tambah Lim, Dr Mahathir juga tidak pernah memberi jaminan atas penangkapannya. Malah, beliau turut mencabar bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan fakta yang membuktikan kenyataan yang disiarkan sebelum ini adalah benar.

Dr Mahathir dalam satu kenyataan berkata pemimpin-pemimpin pembangkang yang menemuinya lebih 20 tahun lalu sebelum mereka ditahan di bawah Ops Lalang seharusnya bercakap benar dan mengakui bahawa mereka ada menemuinya sebelum operasi itu dilaksanakan.

Dr Mahathir berkata, sekiranya pemimpin pembangkang ikhlas dan tidak cenderung untuk berbohong, beliau merasakan mereka perlu mengakui ada menemuinya sebelum operasi. Pada 27 Oktober 1987, ahli politik pembangkang dan Barisan Nasional, ahli akademik dan pemimpin NGO ditahan di bawah Internal Security Act (ISA).
Lesen penyiaran tiga akhbar nasional juga turut ditarik. Antara tahanan yang terkenal adalah Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, bekas Presiden Aliran, Dr Chandra Muzaffar dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Kebanyakan yang ditahan dibebaskan dalam masa 60 hari selepas penangkapan, namun Kit Siang dan beberapa pemimpin serta aktivis lain ditahan selama dua tahun.

No comments:

Post a Comment