Al-Baradi dan Ikhwanul Muslimin di Mesir
Artikel : AHMED Al-Barradi, bekas Pengerusi Agensi Tenaga Atom Antarabangsa PBB pulang ke Mesir sebaik saja tercetus demonstrasi umum rakyat terhadap regim Presiden Hosni Mubarak.Dia pulang untuk menyertai tunjuk perasaan bersama rakyat bagi menggulingkan diktator 30 tahun Mubarak dan sekali gus untuk memimpin Mesir selepas itu.
Albarradi adalah diplomat terkemuka, satu-satunya orang Mesir yang dikenali di dunia selepas Mubarak. Kepulangannya itu menjadikan penentangan kepada regim Mubarak tambah bertenaga.
Kebangkitan rakyat itu sudah dikira satu revolusi oleh masyarakat dunia, tercetus tanpa pemimpin, tidak didorong oleh mana-mana parti politik, tetapi oleh kesedaran rakyat umum yang mendapat semangat dari kejayaan rakyat Tunisia mengenyahkan presidennya.
Kepulangan Albarradi menjadikannya pemimpin kepada kebangkitan rakyat itu. Masyarakat dunia yang ingin melihat Mesir berubah memang mengharapkan untuk memimpin rakyat. Bahkan dia telah merancang untuk balik menentang Hosni Mubarak dalam pilihan raya Presiden nanti.
Amerika dan barat memang mencari orang bagi menggantikan Mubarak baik dia digulingkan atau mati mengejut. Tidak ada yang terkenal selain dari Albarradi tetapi tidak dapat dipastikan dia dapat jadi seperti Mubarak yang menjadi hamba kepada Amerika dan Israel.
Albarradi memang sudah berpolitik. Kalaupun dia tidak jadi budak suruhan Washington, tetapi dia lebih baik dari Mesir jatuh ke tangan penyokong Ikhwanul Muslimun, parti pembangkang yang sangat berpengaruh di kalangan akar umbi Mesir.
Justeru itu namanya sudah ditonjolkan sebagai pencabar utama Mubarak. Kepulangannya dikehendaki oleh banyak pihak. Jika Mubarak tidak dapat dipertahankan, harapan semua adalah kepadanya. Dia saja yang boleh menyaingi pengaruh Ikhwanul Muslimun.
Sebaik dia pulang Ikhwanul Muslimun menggesa di tengah kebangkitan rakyat itu agar semua pembangkang bersatu bagi menghadapi sisa-sisa kekuatan Mubarak bagi membina Mesir baru. Ikhwan nampak risiko jika ia tampil sebagai pencabar utama Mubarak.
Pengalaman FIS, pimpinan Abbasi Madani yang memenangi pilihan raya Algeria hampir 20 tahun lalu akan berulang di Mesir jika Ikhwan di depan. Ia akan dikhianati oleh barat dengan memperalatkan talibarat oporcunis sekular Mesir bagi mematahkan kemenangannya.
Ikhwan lalu mengambil strategi menjadikan Albarradi sebagai pemimpin revolusi bagi menggantikan regim Mubarak sekarang. Dia minta Hosni berundur sekarang juga, memberi peluang kepadanya menjadi pemimpin sementara, bekerjasama dengan tentera bagi memulihkan ketenteraman awam dan membuat persiapan mengadakan pilihan raya Parlimen dan pemilihan Presiden baru.
Penentang regim Mubarak sudah ada tokoh bagi menjadi pemimpin yang dipercayai mendapat sokongan rakyat, tetapi Mubarak belum ada tokoh yang boleh menjadi penggantinya.
Sekalipun Mubarak sudah melantik Naib Presiden, yang pertama sejak jadi Presiden 30 tahun dulu, Umar Sulaiman seorang ketua agensi perisik Mesir, tetapi dia belum ada hubungan dengan masyarakat umum.
Ketua perisik sekalipun terkenal di kalangan pembesar rantau itu, tetapi Mesir yang sejak tahun 1951 dipimpin oleh tentera memerlukan pimpinan dari kalangan awam dan jarang ada negara di dunia mengambil ketua perisik bagi menjadi pemimpin negara kecuali dalam keadaan darurat.
Albarradi adalah tokoh awam yang boleh diketengahkan. Dunia demokrasi umumnya wajar dipimpin oleh orang awam, bukan tentera dan pegawai perisik.
Yang mengganggu barat untuk menerima Albarradi sekarang, bukan tentang keupayaannya untuk menjadi pemimpin awam yang baik, tetapi yang mengangkatnya menjadi ketua ialah Ikhwanul Muslimun.
Amerika berjaya menghalang pengaruh Ikhwan menguasai Mesar sejak tahun 1951, dan bimbang pengaruhnya berperanan di bawah pimpinan Albarradi kerana di belakang Albarradi sekarang ada Ikhwan.
Amerika juga menjuarai penentangan terhadap komunis. Ia berjaya meruntuhkan empayar komunis dan melumpuhkan pengaruh komunis di mana-mana. Ia membantu tentera Arab memerangi pengaruh Ikhwanul Muslimin di benua Arab tetapi ia tidak dapat mematikan pengaruh Islam itu di Mesir.
Sejak zaman Gamal Abdul Nasser dan era Anwar Sadat serta disambung oleh regim Mubarak selama enam puluh tahun terus menerus memerangi Ikhwanul Muslimin dengan segala macam kezaliman tetapi ia terus subur di tengah rakyat Mesir.
Bagi menangani saki baki pengaruh regim Mubarak Albarradi memerlukan kerjasama dan sokongan Ikhwan yang diasaskan oleh Almarhum Imam Hassan al-Banna.
No comments:
Post a Comment