Saturday, February 19, 2011

Rakyat Bahrain derhaka kepada raja

Rakyat mahu Raja disingkir

MANAMA: Beribu-ribu orang yang berkabung atas kematian penunjuk perasaan menyeru rakyat Bahrain bangkit menumbangkan pemerintah monarki dan melaksanakan reformasi, semalam.

Ketika orang ramai menyertai perarakan mengebumikan mangsa pembunuhan itu, sejumlah kereta kebal ditempatkan di jalan raya bagi mengawal keadaan di negara yang menjadi sekutu Barat paling strategik di Teluk.
Desakan menumbangkan pemerintahan beraja di Bahrain membayangkan peningkatan kemarahan politik rakyat – majoritinya berfahaman Syiah – yang tidak puas hati dengan pemerintahan kerajaan berfahaman Sunnah.

Kecenderungan itu semakin ketara selepas pihak berkuasa ganas menyuraikan penunjuk perasaan yang berkhemah di ibu negara Bahrain itu.
Setakat ini, sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan lebih 230 cedera.
Negara itu pula kini diperintah seperti di bawah undang-undang darurat.

Waris mangsa yang ditembak mati, Ahmed Makki Abu Taki, berkata kerajaan amat mengecewakannya.
“Ada sesuatu yang remuk di dalam hati ini. Semua orang yang berkumpul hari ini juga berkongsi rasa itu terhadap kerajaan,” katanya.

Adik Ahmed Makki, Mahmoud, 23, terbunuh dalam serangan mengejut pihak berkuasa ke atas khemah penunjuk perasaan di Dataran Pertama di Manama awal pagi kelmarin.
Menurut Ahmed Makki, sebelum ini mereka hanya mahu perdana menteri meletak jawatan.
“Kini kami menuntut seluruh keluarga diraja disingkirkan,” katanya.
Menggunakan kaedah pemerintahan monarki mutlat, Bahrain kini dikuasai Raja Hamad Isa al-Khalifa, manakala Khalifa Salman al-Khalifa bertindak sebagai perdana menteri.
Sementara itu, di luar masjid sebuah kampung di Pulau Sitra, ratusan orang menghadiri pengebumian tiga penunjuk perasaan yang terbunuh dalam keganasan pihak berkuasa.
Mayat pertama yang diselimut dengan kain baldu hitam dijulang dari satu tangan ke tangan lain sehingga ke liang lahad.
Kakitangan awam, Mohamed Ali, 40, berkata kerajaan melakukan kesilapan dan kini semua rakyat hilang keyakinan terhadap mereka.
“Kami membuat tuntutan aman dan mudah, iaitu singkirkan perdana menteri.
“Kini kami mahukan seluruh kerajaan digulingkan,” katanya.

mymetro/AP

No comments:

Post a Comment