Main Kotor : Mengapa SPR enggan terima bantahan
Tindakan tersebut disyaki telah dilakukan oleh BN setelah kecewa dengan penerimaan rakyat terhadap kempen-kempen mereka di Selangor, sehingga mendorong para pemimpinnya menggunakan apa saja cara untuk mencapai matlamat mereka.
PAS Kawasan Pandan dalam gesaannya telah menemui beberapa bukti berhubung perkara itu, sehingga menyebabkan para pemimpin dan ahli-ahlinya amat tidak berpuas hati dengan senarai pemilih baru yang dipamerkan oleh SPR dari 9 hingga 15 Februari lalu.
Yang Dipertua PAS Kawasan Pandan, Iskandar A. Samad menegaskan, terdapat tiga kekeliruan berhubung perkara itu iaitu pemilih-pemilih yang didaftarkan pada alamat yang tanpa nombor rumah, pemilih-pemilih yang didaftarkan pada alamat yang tidak wujud dan pemilih yang dikenalpasti tidak wujud di alamat yang didaftarkan.
Menurut beliau, mereka tidak faham kenapa masih terdapat alamat pemilih tanpa nombor rumah, pada hal terdapat pemilih-pemilih yang cuba didaftarkan oleh Penolong Pemilih mereka tetapi telah ditolak kerana alamat tidak lengkap.
"Jadi persoalannya sekarang, siapa yang telah mendaftarkan mereka? Kami juga ingin menyatakan rasa kesal di atas sikap pegawai-pegawai SPR di pejabat mereka di Shah Alam yang bersungguh-sungguh enggan menerima bantahan-bantahan kami," katanya pada sidang akhbarnya di Pusat Khidmat PAS Pandan di Pandan Indah, di sini, hari ini.
Selain itu, beliau juga amat kesal kerana pegawai-pegawai SPR di Shah Alam bertindak kasar dan tidak profesional ketika mereka mengadakan bantahan itu baru-baru ini yang ternyata mahu menolak bantahan-bantahan itu tanpa alasan kukuh.
Beliau yang juga Adun Chempaka menegaskan, pada hal bantahan-bantahan itu dibuat mengikut peraturan dan sebelum tarikh akhir yang telah ditetapkan oleh pihak SPR sendiri.
"Sikap SPR ini seolah-olah terdapat muslihat tertentu. Kenapa SPR begitu bersungguh-sungguh hendak menolak bantahan-bantahan yang dibuat oleh kami? Apa yang SPR cuba sembunyikan?" katanya.
Hanya setelah didesak dengan keras oleh mereka sehingga menimbulkan suasana kurang baik, jelasnya, barulah SPR telah menerima bantahan-bantahan itu.
Bantahan yang dibuat oleh mereka pada hari itu, menurut beliau lagi, melibatkan 7 orang pengundi muda di kawasan Dun Chempaka dengan lima daripadanya lelaki dan dua lagi perempuan.
Antara perkara yang amat mengelirukan pada pendaftaran pengundi tersebut, ada di antaranya bernama Melayu tetapi dicatatkan tinggal di kawasan kilang Cina, pada hal di kawasan kilang itu tiada sesiapa pun yang tinggal, apatah lagi orang Melayu.
"Tidakkah pelik dengan apa yang berlaku itu? Untuk melakukan bantahan pula bukan senang. Banyak prosedur yang terpaksa diikuti, selain dikenakan bayaran RM10 untuk bantahan setiap seorang dan RM200 untuk peringkat pendengaran oleh pihak SPR," tegasnya.
Dun Chempaka mempunyai jumlah pengundi 32,000 orang. Peningkatan pengundinya sejak PRU Ke-12 lalu hingga kini agak tinggi iaitu seramai 1,600 orang dengan tujuh daripadanya termasuklah mereka yang dibantah oleh mereka pada hari itu.
No comments:
Post a Comment