Sunday, February 6, 2011

Tanggung sendiri: Najib tidak boleh tuduh kerajaan difitnah

KUALA LUMPUR, 6 Feb: PAS menyambut baik jaminan kerajaan untuk menanggung semua kos bagi membawa pulang rakyat Malaysia dari Mesir kembali ke tanah air seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, keputusan tersebut bagaimanapun agak lewat dibuat kerajaan sehingga timbul kekeliruan berkaitan perkara tersebut sebelum ini.

Ekoran kelewatan tersebut juga, maka Najib katanya tidak boleh menganggap tuduhan bahawa kerajaan tidak mempunyai wang membiayai kos membawa pulang pelajar terbabit sebagai fitnah.

"Kita sambut baik jaminan kerajaan itu tapi Perdana Menteri tak boleh anggap dakwaan ibu bapa pelajar, dan rakyat bahawa kerajaan tiada wang dan pelajar kena tanggung tambang balik, sebagai fitnah.

"Saya difahamkan mereka mendapat maklumat dari Wisma Putra dan Kedutaan sendiri bahawa kos tambang balik dari Jeddah ke Malaysia kena tanggung sendiri sehingga ada yang telah membeli tiket sendiri," katanya kepada Harakahdaily.

Perkara tersebut juga kata Mahfuz turut dilapor media perdana sebelum ini.

Najib sewaktu mengumumkan jaminan tersebut di Masjid Jamek Kampung Baru semalam menganggap dakwaan kerajaan tidak mempunyai wang, adalah pembohongan dan fitnah besar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau seperti dilapor media berkata, isu tersebut telah dipolitikkan oleh PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang seharusnya memberi kerjasama bukannya mempolitikkan isu berkenaan dengan menyebar fitnah.

Mahfuz juga tidak menolak kemungkinan, pengumuman jaminan tersebut dibuat Najib ekoran malu kepada Putera Raja Arab Saudi, Putera Turki Abdullah Al Saud, kerana sudi membiayai dua penerbangan menggunakan pesawat jumbo Boeing 747 untuk membawa balik pelajar Malaysia dari Jeddah ke Kuala Lumpur.

Seperkara lagi kata Mahfuz, kerajaan juga tidak sepatutnya mengumumkan untuk merujuk dan berurusan dahulu dengan pihak swasta lain seperti Lembaga Tabung Haji, Malaysia Airlines (MAS) dan AirAsia berhubung pembiayaan kos terbabit.

Tindakan tersebut katanya hanya hanya akan memberi gambaran bahawa kerajaan tidak bersedia untuk menanggung sepenuhnya kos misi tersebut.

"Kita setuju pihak swasta tunai tanggungjawab sosial, tapi tak kan kerajaan nak tengok dulu swasta boleh bagi berapa.

"Sepatutnya umum tanggung penuh la, lepas tu bincang la nak cari duit dari mana," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment