Friday, February 18, 2011

Video : Zaman BN hanya tabur janji, PR perintah baru kami merasa



Nasib Keluarga Melayu Di Gombak Setia Terbela

LAPORAN KHAS:
Setelah lebih sedekat menanti pembelaan nasib mereka, ratusan keluarga Melayu di Kampung Gombak Setia bakal menarik nafas lega pada 19 Februari nanti.

Ini berikutan kesedian kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor untuk membantu tawaran pengurangan premium tanah serendah RM1.50 sekaki persegi berbanding RM2.50 terdahulu.

Perkara ini diumumkan Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali setelah mengambil kira beban terpaksa ditanggung oleh penduduk yang rata-rata telah menetap di kawasan itu sejak sebelum merdeka.

Keputusan tersebut mendapat persetujuan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini.

Susulan reaksi itu, krew Tv Selangor meluangkan masa membuat tinjauan keluarga yang terlibat minggu lalu.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Gombak Setia (PKGS), Harun Abdul Rahman yang ditemuramah berkata permohonan yang dibuat menerusi ahli parlimen itu hanya mengambil masa kurang daripada dua tahun untuk diselesaikan.

Ini menurutnya, Azmin jauh lebih efisien daripada wakil rakyat Umno-Barisan Nasional (BN) terdahulu yang memakan masa bertahun-tahun namun tidak menghampiri jalan penyelesaian.

"Jadi Alhamdulillah usaha yang dibuat YB Azmin saya kira dalam masa setahun lebih permohonan kita untuk pengurangan premium. Asalnya premium RM2.50 sekaki persegi. Dalam permohonan kita minta sekurang-kurangnya RM1.50 sekaki. Tapi apabila saya dimaklumkan YB Azmin bahawa MB telah memberi keputusan di luar jangkaan. Jumlahnya kita tidak tahu," ujar beliau.

Jelas Harun lagi, sebelum ini permohonan turut dibuat menerusi wakil rakyat Umno-BN, Datin Paduka Rakibah Manap daripada tahun 1994 hingga 1999 namun usaha yang ditunjukkan beliau hanya sambil lewa serta tidak begitu serius.

Justeru wujud pelbagai masalah dari aspek penyelarasan harga tanah sehingga mengheret masyarakat setempat.

Beliau menambah, jurang perbezaan nilai harga premium yang ditawarkan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim jauh berbeza.

"Saya bagi pihak penduduk Gombak Setia merakamkan ucapan terima kasih kepada MB, Tan Sri Khalid dan yang mengusahakan perkara ini ialah YB Azmin. Saya rasa apa yang dibuat oleh beliau adalah satu langkah yang amat saya hargai sebab sebelum ini memang permohonan kita dibuat sambil lewa sahaja. Maknanya tiada seorang pun ADUN atau wakil rakyat sejak daripada 1994 yang begitu serius untuk membuat kerja-kerja ini.

"Dulu ada yang perlu bayar sehingga RM30 ribu. Tapi dengan adanya kelulusan daripada Tan Sri saya rasa tiga suku daripada jumlah itu berkurang," kata Harun lagi.

Justeru beliau turut menyatakan rasa kecewa terhadap pentadbiran Umno-BN terdahulu yang kurang mengambil berat kepentingan rakyat walaupun pernah menganggotai parti itu.

Tv Selangor juga difahamkan antara perkara utama lain yang dituntut penduduk Kampung Gombak Setia sejak tahun 90-an adalah hak milik kekal tanah penempatan majoriti penduduk Melayu di situ.

Sejak tahun 1994, PKGS mewakili penduduk Gombak Setia membuat permohonan hak milik kekal berdasarkan pegangan pajakan 60 tahun.

Sejurus itu, pada 12 September 1994 satu memorandum telah dikemukakan kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhamaad Taib ketika itu dan seterusnya pajakan dilanjutkan kepada 99 tahun.

Penduduk yang kurang berpuas hati dengan keputusan itu tetap meneruskan usaha menuntut hak mereka.

Harun yang menjelaskan perkara itu berkata, penyelesaian akan dicapai namun secara berperingkat selain menyarankan kepada penduduk untuk menerima harga premium tanah yang ditawarkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor nanti.

Kemudian isu hak milik kekal akan diusulkan semula kepada Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kalau mengikut pengiraan kita, geran-geran ini akan tamat pada 2018. Ada juga kes yang telah tamat pada 2010. Tapi apabila YB Azmin membuat permohonan dan merujuk balik perkara ini dan berbincang dengan MB, Tan Sri Khalid dan pejabat tanah. Jadi YB Azmin beritahu kepada penduduk buat masa sekarang ini jangan buat apa-apa lagi. Beliau turut memberitahu pejabat tanah sekiranya terdapat permohonan mengenai perkara itu ditanggungkan dahulu sampai perkara ini selesai.

"Tapi alhamdulillah peringkat pertama ini, YB Azmin dah berbincang dengan kita supaya kita terima dulu premium ini dan (hak milik kekal) akan kita susul balik.

Percaya Pendekatan Pakatan Rakyat

Menurut Harun, segelintir masyarakat yang sebelum ini skeptikal dengan cara pengurusan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor telah mula mempercayai pendekatan yang dilaksanakan.

"Seperti yang saya katakan tadi, kita berusaha tapi tidak ada respon yang serius daripada mereka berbanding apa yang dibuat oleh YB Azmin. Saya cukup hormat dengan dia. Cara beliau buat kerja itu dan saya difahamkan beliau sendiri yang berjumpa dengan pegawai daerah berkenaan untuk mencari jalan menyelesaikan masalah di Gombak Setia," katanya.

Beliau turut menyarankan agar Tan Sri Khalid Ibrahim lebih kerap turun padang memantau masalah rakyat selain tidak menolak kerajaan di bawah kelolaan beliau berjaya menyelesaikan pelbagai masalah di negeri itu.

Harun berkata sekiranya usaha gigih ini diteruskan maka beliau percaya kerajaan Pakatan Rakyat akan terus mendapat mandat daripada masyarakat.

Krew Tv Selangor kemudian bertemu dengan wakil penduduk masyarakat Melayu di penempatan itu, Mohd Darus Mohd Zin untuk mendapatkan reaksi.

Dalam temuramah ringkas itu, Mohd Darus menekankan peranan dan prinsip yang dipegang oleh sesebuah pemerintah harus mengambil berat kepentingan rakyat.

"Sepatutnya rakyat minta, setidak-tidaknya yang bermasalah kalau tidak banyak sedikit dapat selesai. Kalau mahu tunggu selesai sekaligus mana boleh. Aduan daripada rakyat dan penduduk setempat mesti ada inisiatif di mana kita tahu tanah tersebut hak rakyat, tapi mereka yang pangkat di atas tidak pandang di bawah. Jadi bila digertak sikit nak marah boleh tapi malu nanti.

"Semua orang minta. Persatuan minta supaya perkara ini dibawa ke atas. Kenapa kampung lain dapat? Bila dah jadi wilayah begini ceritanya sampai bila tidak selesai. Tanah kita yang di sana pun tidak selesai," ujar beliau.

Dalam pada itu, Normah Ujat yang telah menetap di Kampung Gombak Setia sejak 1969 memohon agar kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mempertimbangkan permohonan hak milik kekal penduduk di situ.

"Saya sebagai penduduk Gombak Setia mengucapkan terima kasih sekiranya pihak kerajaan mempertimbangkan permohonan penduduk selama ini. Tapi lagi yang lebih besar ada kita minta iaitu untuk minta geran kekal itu. Seperti yang kita tahu secara berperingkat.

"Kami memang sentiasa memberi sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang memerintah. Nampak yang baru ini walaupun baru beberapa tahun. Apa yang menyekat dahulu saya tidak tahu. Harap cepat bertindak," ujar beliau.

Sementara itu Bendahari PKGS, Othman Abdullah yang juga ditemuramah Tv Selangor menyifatkan wakil rakyat terdahulu tidak meletakkan usaha penuh untuk membantu rakyat.

Kata beliau, wakil yang dipilih rakyat sekurang-kurangnya perlu menunjukkan kesungguhan memperjuangkan hak rakyat.

"Kita beberapa kali buat rayuan ditolak.Tapi tidak berputus semangat. Kita tetap berusaha merayu pada wakil rakyat. Alhamdulillah sekarang kita merayu hanya jangkamasa setahun lebih, kita berjaya.

"Walaupun kadang-kadang wakil rakyat terus cakap tidak boleh. Dia tidak ada cara bagaimana mahu buat supaya perkara itu boleh. Ada juga wakil rakyat yang belum lihat lagi sudah kata tidak boleh," jelas Othman.

Menurutnya lagi, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali sekurang-kurangnya cuba mengintai peluang untuk membolehkan suara rakyat diketengahkan.

"Wakil rakyat kita (sekarang) datang pada kita, tunjuk pada kita sebab apa tidak boleh dapat. Contohnya tanah kita ini termasuk geran kawasan bandar.

"Saya harap selepas habis perkara ini, usahakan hak milik kekal. Saya takut kalau pemerintah yang ada sekarang ini tidak mengapa tapi sekiranya tukar pemimpin lain dan geran tidak ada maka mereka boleh ambil sesuka hati," kata beliau.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bersama kepimpinan Pakatan Rakyat lain akan menghadiri majlis bertemu penduduk pada 19 Februari jam 10 pagi di Dewan PKGS.

Dijangkakan kerajaan Selangor akan mengumumkan kejutan kepada penduduk-penduduk di situ.

No comments:

Post a Comment