‘Saya rasa diri sangat kerdil’
LANGGAR - Kehadiran bekas juri program realiti dan penulis lirik lagu Isabella, Bob Lokman nyata menarik perhatian ribuan penduduk Pokok Sena di Karnival Kedah Sejahtera Pas Kawasan Pokok Sena.
Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman secara jujur berkata, dia kagum dengan semangat yang ditunjukkan belia yang berhimpun pada Program Himpunan 30,000 Pemuda Pas di Kota Sarang Semut, Yan pada 19 Februari lalu.
Menurutnya, lautan belia yang berdiri dalam cuaca panas untuk mendengar ceramah demi ceramah membuatkan beliau berasa malu dan kerdil.
“Waktu itu berada di hadapan 30,000 belia saya terasa sangat kerdil kerana melihat semangat-semangat belia yang hadir untuk menyatakan sokongan tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran selain berdiri dalam cuaca panas dan terik,” katanya ketika memulakan ucapannya.
Turut hadir menyampaikan ceramah, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Abd Ghani Ahmad dan bekas calon Pas DUN Tenang, Normala Sudirman.
Bob berkata, pada waktu sama, dia mengakui dirinya terlalu kecil untuk duduk bersama pemimpin Pas semasa berada di atas platform berkenaan.
Menurutnya, sebelum ini, beliau memikirkan masa depan karier seninya selepas secara terang-terangan menyerahkan borang keahlian dan bergiat aktif dalam Pas.
Beliau mengambil keputusan itu kerana sebelum ini melalui pelbagai pengalaman hidup yang kurang menekankan soal suruhan agama sebenar.
“Sebenarnya sudah lama saya mahu menyertai parti ini untuk berdamping dengan orang agama kerana sentiasa memikirkan diri ini jarang mendampingi golongan seperti ini,” katanya.
Bagaimanapun beliau tidak menafikan bahawa akan kembali ke dunia seni tetapi perlulah mengikut syariat dan landasan yang ditentukan Islam.
“Sekiranya ada peluang saya fikir mahu membangunkan sebuah produksi Islam sepenuhnya seperti pekerja mesti menutup aurat, bersolat mengikut waktu dan menghasilkan cerita-cerita yang bermanfaat,” katanya.
Ditanya sama ada beliau akan memenuhi hasrat bapanya untuk beliau menjadi seorang pemimpin, Bob berkata, beliau akan menolak dengan baik hasrat itu kerana tanggungjawab seorang pemimpin adalah sangat besar.
Menurutnya, untuk mengalas tugas sebagai seorang pemimpin bukanlah tugas mudah.
“Jawatan sebagai seorang pemimpin sangat besar dan bukan main-main, saya tahu kemampuan sebenar diri saya dan lebih suka bergerak dan aktif di peringkat bawah sahaja,” katanyaSH
Alhamdulillah....
ReplyDelete