GLC ambil alih projek
ALOR SETAR - Kerajaan Negeri belum menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk membina rumah kos rendah menyebabkan beberapa projek perumahan mampu milik kini dibina atas pembiayaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, GLC kini diberi tanggungjawab untuk membina rumah terbabit dan Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dilantik sebagai jawatankuasa penyelaras bagi membolehkan setiap rakyat Kedah mampu memiliki rumah sendiri.
“Kita memohon peruntukan lebih RM300 juta untuk membina 7,000 rumah kos rendah di seluruh negeri. Ia masih dalam pertimbangan dan belum diluluskan Kerajaan Pusat,” katanya selepas meninjau kerja baik pulih rumah yang rosak akibat ribut di Taman Wira Blok B, Mergong semalam.
Hadir sama, Exco yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Angkat Bakar Bata, Dr Ismail Salleh.
Phahrolrazi berkata, pemaju swasta juga diminta memainkan peranan dengan menyediakan rumah kos rendah dalam projek perumahan baru berdasarkan status tanahnya.
“Bagi projek perumahan baru, pemaju disyaratkan membina rumah kos rendah dan jumlahnya meliputi 20 peratus daripada keseluruhan unit” katanya.
Menurutnya, antara projek perumahan awam kos rendah yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-7 hingga ke-8 ialah Taman Kota Nelayan di Kuala Kedah, Taman Seri Gemilang (Mergong), Paya Nahu I dan II (Sungai Petani), Charuk Nau (Baling), Taman Dahlia (Langkawi) dan Perumahan Rakyat Mergong.
“Jumlah keseluruhan mencecah 15,323 unit rumah namun masih tidak mencukupi untuk menampung permintaan,” katanya.
Mengenai status baik pulih rumah di Taman Wira yang rosak dalam kejadian ribut 13 Mac lalu, Phahrolrazi berkata, Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri sudah melantik kontraktor untuk membaiki 36 rumah termasuk sebuah surau.
“Kesemua rumah masih bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri kerana terikat pada perjanjian sewa beli. Rumah itu belum diserahkan sepenuhnya kepada pemilik kerana pembayaran belum selesai,” katanya.
Menurutnya, mengikut perjanjian sewa beli antara penduduk dengan Kerajaan Negeri, tempoh perjanjian adalah selama 25 tahun dan rumah terbabit akan diserahkan selepas bayaran selesai, namun berlaku tunggakan dalam pembayaran menyebabkan ramai belum mendapat hak milik.
“Perjanjian patut dah tamat tetapi ada tunggakan, tak dapatlah proses tukar hak milik. Jika bayar ikut jadual, kita akan proses segera sebaik pembayaran selesai,” katanya.SH
No comments:
Post a Comment