KUALA TERENGGANU - PAS mengajak seluruh rakyat khususnya di negeri Terengganu bangkit membuat perubahan menggantikan Umno Umno dengan PAS pada pilihanraya umum akan datang kerana Umno yang bersifat “zalim”.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata PAS sedang giat mengajak seluruh rakyat di negeri ini bangkit membuat perubahan dalam pilihan raya.
Menurutnya, Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) mesti digantikan dengan PAS kerana parti itu mempunyai sifat-sifat zalim yang dibenci oleh Allah SWT.
“Kita sedang bergerak untuk mengajak rakyat bangkit di atas satu perkara “PAS Ganti Umno”. PAS negeri Terengganu mengajak seluruh rakyat supaya bangkit untuk menyahut satu seruan membuat perubahan.
“Umno mesti diganti kerana di antara sifat yang sangat dibenci oleh Allah SWT yang ada pada Umno ialah “zalim”,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana memperingati tragedi ‘berdarah’ Batu Burok, Kuala Terengganu sejak lebih 10 tahun lalu di perkarangan pejabat Majlis Tindakan Dun (MTD) di Kuala Ibai, dekat sini, 30 Mac lalu.
Menurutnya, betapa besar dosa melakukan kezaliman itu hingga Nabi Muhamad SAW pernah menceritakan kisah seorang perempuan di masuk ke neraka.
Katanya, Allah SWT memasukkan seorang perempuan ke dalam api neraka hanya kerana menzalimi seekor kucing hingga mati di dalam sangkar.
“Betapa besarnya dosa zalim sehingga Nabi Muhamad SAW menceritakan, ‘seorang perempuan di zaman dahulu dimasukkan ke neraka hanya kerana dia menzalimi seekor binatang’.
“Perempuan itu memelihara seekor kucing, tiba-tiba dia membiarkan seekor kucing berada di dalam sangkar dan kucing itu lapar dan dahaga hingga mati dalam sangkar,” jelasnya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Terengganu mengingatkan bahawa hanya kerana kezaliman membiarkan seekor kucing mati pun akan dihumbang ke dalam neraka.
Apatah lagi, katanya balasan terhadap Umno-BN yang menzalimi manusia dan rakyat mereka sendiri.
“Hanya kerana kezaliman perempuan itu membiarkan seekor kucingnya mati dalam keadaan lapar dan dahaga di dalam sangkar. Allah SWT memasukkan perempuan itu ke dalam api neraka.
“Seekor kucing pun tidak boleh dizalimi, apatah lagi balasan terhadap Umno yang menzalimi manusia dan rakyat mereka sendiri,” tegasnya.
Menurut Ustaz Mohd Nor kerana kezaliman itulah rakyat perlu bangkit membuat perubahan bagi menumbangkan Umno-BN di negeri ini.
Antara lain, katanya kezaliman Umno-BN itu berlakunya peristiwa ‘berdarah’ di Batu Burok Kuala Terengganu, rampasan tanah dan rumah serta perobohan Masjid Bujal di Kijal, Kemaman.
“Rakyat perlu bangkit tumbangkan Umno dan Barisan Nasional. Antaranya, berlaku tragedi (tembakan) di Batu Burok dan perobohan Masjid Bujal, di Kijal, Kemaman.
“Jatuh, roboh dan tumbangnya Masjid Bujal pada tahun 2005 itu kerana kezaliman Umno. Rumah-rumah rakyat musnah dan tanah-tanah rakyat dirampas.
“Hari ini, kerajaan Umno-BN berusaha untuk mengambil tanah rakyat di Chabang Tiga, Umno sedang berusaha untuk mengambil tanah rakyat di Gelugor Raja dan di Teluk Pasu,” ujarnya.
Beliau mengingatkan rakyat agar tidak mudah lupa dengan segala kezaliman Umno hanya kerana duit ‘ehsan’ RM200 hingga RM300 dan bila banjir berlaku dapat RM400 hingga RM500.
Menurutnya, duit negeri banyak tetapi tidak diurus tadbir dengan baik oleh Umno yang menjadi kerajaan BN Terengganu.
Malah, katanya Infrastruktur di negeri ini masih kurang dan tidak diambil peduli dengan sempurna sekadar retorik sahaja.
Hadir sama pada majlis tersebut Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mohamad Sabu, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.
No comments:
Post a Comment