Loteri di Kelantan, durjananya Umno
Meski pun isu dipertikaikan itu melibatkan hukum agama yang sepatutnya ikut dipertahankannya, parti sekular-nasionalis itu bagaikan tidak peduli, asalkan saja yang menjadi mangsa ialah PAS.
Reaksi Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap serangan terbaru Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek ke atas PAS berhubung isu loteri di Kelantan boleh dijadikan contoh terbaru.
Timbalan Presiden Umno itu bukan sahaja tidak mengambil kesempatan menerangkan kepada rakannya yang bukan Islam mengenai hakikat sebenar hukum agama, sebaliknya secara tidak bertanggungjawab menggambarkan bahawa apa yang dilakukan kerajaan PAS Kelantan sebagai salah dan tidak bersesuaian dengan masyarakat negara ini.
Media cetak pada Rabu memetik Muhyiddin sebagai menyifatkan tindakan kerajaan Kelantan mengharamkan penjualan tiket loteri memperlihatkan wajah sebenar bagaimana PAS melayan masyarakat bukan Islam.
“Kita serahkan kepada masyarakat bukan Islam untuk menilai bagaimana sikap dan pendirian kerajaan PAS dalam isu ini. Pendirian kerajaan Persekutuan tidak perlu kita jelaskan lagi,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan Soi Lek sehari sebelumnya yang membayangkan kemungkinan mengheret PAS ke mahkamah di atas tindakan parti itu mengharamkan judi di Kelantan.
“Jika PAS haramkan judi sepenuhnya, ia seperti mempraktikkan agama Islam ke atas penganut bukan Islam. Kami tidak menolak kemungkinan perkara yang sama akan berlaku ke atas negeri lain jika PAS mengambil alih pemerintahan di negara ini,” media pada Selasa, 8 Mac memetik kata Soi Lek.
Pemimpin yang popular dengan skandal seks itu berhujah, rakyat ada kebebasan memilih cara hidup masing-masing kerana ia sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Justeru, katanya, PAS tidak ada hak campur tangan dalam kehidupan bukan Islam.
Beliau dipercayai merujuk langkah Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menyerbu dua kedai buku yang menjual loteri secara gelap, minggu lalu.
Ekoran itu, Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Ti Lian Ker yang juga seorang peguam mendakwa tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menyalahi undang-undang. Menurutnya loteri yang dijual di premis terbabit adalah loteri kebajikan yang mendapat kelulusan Kementerian Kewangan mengikut Akta Loteri 1952.
Fakta itu memberi modal baru untuk Soi Lek sekali lagi mengasak PAS. Keceluparannya pula secara tidak langsung memberikan kepuasan politik kepada para pemimpin Umno.
Pemimpin parti Melayu itu seronok membiarkan PAS diasak MCA, seronok juga melihat MCA membukitkan kebencian terhadap PAS di kalangan bukan Islam, walau pun Umno tahu tindakan parti rakannya itu dibauri sentimen perkauman dan keagamaan.
Sepatutnya Umno tampil menenangkan rakannya, bukan menambahkan kemarahan dalam kejahilan mereka terhadap Islam. Malangnya, Umno selesa menampilkan wajah sebenarnya apabila mengakui bahawa kerajaan Pusat pimpinannya tidak ada masalah untuk terus membenarkan kaum bukan Islam berjudi.
“Dari segi undang-undang, tindakan mereka (orang Cina) membeli loteri tidak salah. Jadi isu pengharaman ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat bukan Islam,” kata Muhyiddin.
Menilai kenyataan beliau yang secara terbuka menyokong desakan MCA menjelaskan bahawa Umno bukan sahaja tidak berhasrat menghapuskan judi, malah tidak bersedia memberikan laluan mudah kepada PAS merealisasikan hukum Islam itu.
Kenyataan Muhyiddin itu malah secara tidak langsung mengakui fakta bahawa kerajaan Pusat pimpinannya memang meluluskan lesen judi, termasuk loteri, sepertimana didedahkan Lian Ker itu.
Ituah punca sebenar mengapa judi sukar dihapuskan, termasuk di Kelantan. Pendirian sama tidak dikongsi kerajaan Pusat didokongi Umno. Kerajaan negeri hanya berhak membatalkan lesen premis. Bidang kuasa kerajaan tempatan hanya setakat itu.
Adapun lesen operasi judi tertakluk di bawah kelulusan Kementerian Kewangan. Sepertimana didedahkan MCA, percanggahan utama di Kelantan ialah apabila loteri diberi kelulusan lesen oleh kerajaan Pusat menerusi Akta Loteri 1952.
Walau pun Umno mungkin seronok di atas asakan dihadapi PAS, pendiriannya itu sebenarnya menyerlahkan lagi sikap hipokrit parti itu, terutama terhadap agama. Terbukti semata-mata demi mengekalkan sokongan bukan Islam, khususnya MCA, Umno tergamak menggadai hukum agama.
Lebih teruk lagi, parti tua kutuk itu tergamak membubuh karak di punggung MCA, atau mencurah minyak ke dalam api, agar bukan Islam bertambah marah kepada PAS, walau pun yang turut dipersenda mereka ialah hukum agama.
Keadaan serupa pernah berlaku di Kelantan sebelum ini, bilamana kerajaan PAS mengemukakan peraturan baru dalam penyusunan semula penggunaan arak. Kerajaan negeri mengurangkan jumlah premis dilesenkan untuk jualan dan peminuman arak.
Umno tidak membantu menjernihkan keadaan apabila MCA menjuarai usaha membantah peraturan itu. Umno tidak merasionalkannya secara positif, sebaliknya menjadi tukang kipas supaya Cina semakin marah dan membenci kerajaan negeri diterajui PAS.
Para pemimpin Umno Kelantan tersengih hingga ke pipi melihatkan gelagat pemimpin MCA di Kota Bharu yang “menggelegak” ketika itu.
Parti itu menganjurkan pesta minum arak di bandar itu dan diuar-uarkan secara terbuka sebagai satu tindakan yang sengaja mencabar memperlekeh kerajaan negeri.
Keadaan hanya kembali reda selepas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberikan “persetujuannya”.
“Nak minum sangat minum lah, minum sampai pecah perut!”, katanya, merujuk kepada tindakan MCA itu.
Alhamdulillah, kenyataan dalam nada kecewa dibauri perasaan tersinggung itu tidak sukar difahami pemimpin MCA. Mereka anggap itu satu doa dari seorang ulama dan dikatakan ungkapan itu menimbulkan rasa kecut perut di kalangan pemimpin MCA.
Mereka takut jika “masin mulut” Tok Guru, bencana itu benar-benar menimpa mereka. Akibatnya kedegilan dan keegoan segelintir mereka terpadam dan pesta minum arak itu tidak dilangsungkan sepertimana dicanangkan.
Namun apakah episod itu memberi kesan menginsafkan buat pemimpin Umno? Maaf cakap, parti itu setakat ini tidak berubah. Ia kekal dengan pendirian seolah-olah kerja mendaulatkan Islam hanya tugas dan tanggungjawab PAS.
Justeru, apa pun yang dipertikaikan rakan-rakan komponen Barisan Nasional berhubung ajaran agama Islam, Umno tidak merasa tanggungjawabnya memperbetulkan salah faham yang wujud.
Kenyataan terbaru Datuk Chua Jui Meng, bekas Naib Presiden MCA yang sebelum ini telah puluhan tahun hidup sebumbung dengan Umno menjelaskan perangai buruk Umno itu. Bekas menteri Kabinet itu mengakui selama ini gagal diberikan fahaman betul mengenai Islam dan PAS.
"Kami tidak didedahkan dengan perkara sebenar. Malah terdapat juga dakwaan yang mengatakan jika PAS (sebagai parti Islam) memerintah nanti banyak perkara yang lebih dahsyat akan berlaku," katanya.
Bagaimana pun kata Jui Meng, setelah bergaul dengan PAS dan menilai pendekatan yang dibawa parti itu, beliau mendapati Islam itu agama yang sederhana.
Umnolah sebenarnya yang membawa Islam ekstrim, yang menakutkan kami. PAS yang saya dampingi telah mengajar perkara sebenar kepada kami.
"Akhirnya saya sendiri memahami apa sebenarnya kesederhanaan dalam Islam. Malah anak-anak lelaki saya juga disunatkan kerana faham akan kebaikan yang ada pada amalan bersunat sepertimana yang diamalkan oleh masyarakat Islam," katanya.
Jui Meng turut mengakui Islam yang dikenali melalui PAS bukanlah satu agama ekstrim seperti digambarkan selama ini, sebaliknya agama itu mengutamakan kebajikan semua kaum, termasuk orang-orang bukan Islam.
Terbukti pendirian bertentangan terhadap Islam antara dua “Chua” tadi memberitahu kita sesuatu, iaitu PAS serius dan ikhlas memperjelaskan Islam kepada masyarakat, sebaliknya Umno hanya selesa menjadi batu api menyemarakkan kebencian bukan Islam terhadap agama suci ini.
Itulah durjananya Umno!
No comments:
Post a Comment