Sunday, March 20, 2011

Pilihanraya Sarawak : Bermulalah pesta temberang

KUALA LUMPUR, 21 Mac: Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak dibubar pada hari ini, maka bermulalah pesta temberang oleh pemimpin BN yang akan membawa macam-macam janji manis untuk rakyat di Sarawak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, bermacam-macam janji akan ditabur untuk rakyat Sarawak, ia merupakan amalan biasa pemimpin BN setiap kali pilihan raya.

Menurutnya, menjelang Pilihan raya Sarawak BN cuba hendak melindungi kelemahan mereka selama ini untuk membangunkan negeri itu.

Katanya, kegagalan mereka untuk mentadbir Sarawak dengan menuding jari kepada pembangkang kononnya Pakatan Rakyat punya angkara sedangkan Pakatan Rakyta baru sahaja berusia tiga tahun.

“PAS hendak tanya ke mana pula hasil mahsul negeri Sarawak seperti minyak dan balak?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, akan ada 'hantu-hantu jembalang' dari Semenanjung yang mahu mengganggu keharmonian rakyat di Sarawak menjelang pilihan raya negeri itu tidak lama lagi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, mereka hanya datang ke Sarawak pada pilihan raya negeri semata-mata untuk membuat kacau dengan membawa berita manis untuk menarik sokongan rakyat.

“Kenyataan Timbalan Presiden Umno menggambarkan kebimbangan beliau berkenaan dengan kesedaran di kalangan rakyat Sarawak yang semakin celik maklumat mengenai kecacatan pemerintahan BN di Sarawak,” ujar Idris.

Mereka, katanya sudah bertanya ke mana sumber kekayaan negeri mengalir kerana kehidupan mereka seolah-olah negeri Sarawak sebuah negeri padang sahara yang tidak mempunyai sumber hasil bumi.

Sebagai satu contoh, ujarnya sebuah kampung yang berhampiran dengan pejabat Petronas Cari Gali di Miri, terdapat sebuah kampung Pasir yang didiami oleh masyarakat Iban.

Katanya, kawasan sudah didiami hampir 30 tahun tanpa elektrik yang terpaksa menggunakan generator dengan kos RM150 sebulan untuk setiap rumah.

Baginya, Muhyiddin menganggap PR akan mengganggu Sarawak menjadi negara maju di mana kenyataan itu seperti pencuri menjerit pencuri.

Soalnya, apakah Sarawak selama ini diperintah oleh Pakatan Rakyat.

PAS, ujarnya mengharapkan Timbalan Presiden Umno jangan menganggap rakyat Sarawak buta sejarah kerana apabila hampir pilihan raya, pemimpin mula jijak kampung rakyat, selepas pilihanraya, rakyat dijijak.

PAS, katanya lagi percaya bahawa Timbalan Presiden takut dengan janji “Buku Jingga” antaranya 20% royalti minyak akan diberikan kepada Sarawak.

Datuk Seri Najib telah mengumumkan peruntukan RM5.7 bilion untuk negeri Sarawak ini sehingga 2012 supaya Sarawak seimbang dengan Semenanjung dari segi pembangunan.

Tambahnya, saban tahun peruntukan di Sabah dan Sarawak diluluskan, malangnya dari segi pelaksanaan tidak berlaku.

“Kehidupan rakyat seperti negeri baru merdeka 10 tahun. Tanah yang luas masih kedapatan, tetapi rakyat merempat di tanah setinggan, hanya menunggu masa untuk dihalau.

“PAS yakin rakyat Sarawak akan buat kejutan dalam pilihan raya kali ini. Mereka akan merdekakan diri daripada belenggu BN, insya Allah,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment