KUALA LUMPUR, 9 Mac: PAS tidak akan berputus asa untuk meneruskan empat tuntutan mengenai demokrasi pilihan raya yang dibakulsampahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ahli Parlimen Bachok, Nasharudin Mat Isa berkata, bagi meneruskan tuntutan itu, PAS bersama-sama Pakatan Rakyat dan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak teragak-agak untuk mengadakan himpunan kali kedua seperti yang berlaku pada 2007. Ini kerana katanya, pilihan raya umum ke-12 dan siri pilihan raya kecil selepas itu, SPR bersikap berat sebelah iaitu memberi keutamaan kepada BN sahaja. "Sehari demi sehari hal demokrasi diuji dalam negara kita. SPR tidak memainkan peranannya dan pengalaman yang sudah banyak kita alami dalam siri pilihan raya. "Tuntutan Bersih pada pilihan raya umum ke-12 masih belum dilaksanakan malah mungkin tidak dikaji langsung oleh SPR dan tuntutan-tuntutan kita dibakulsampahkan. "Saya tidak menolak sekiranya tuntutan PAS, NGO dan Pakatan Rakyat keseluruhannya terhadap demokrasi tidak dilayan dan diperbetulakan kerajaan, kita akan melancarkan satu lagi himpunan Bersih secara besar-besaran ke Istana Negara sebelum pilihan raya umum ke-13 untuk kita minta suara kita didengar," kata beliau sewaktu membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini. Empat tuntutan berkenaan ialah pemansuhan undi pos, penggunaan dakwat kekal, akses kepada media dan pembersihan daftar pemilih. Sementara itu, Timbalan Presiden PAS itu turut menyentuh mengenai Buku Jingga Pakatan Rakyat yang mendapat kritikan hebat daripada BN. Katanya, janji 100 hari Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga itu dibuat berdasarkan kajian pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan sebagai baik pulih kepada pengurusan ekonomi negara yang semakin pincang di bawah pentadbiran BN. "Kami menawarkan Buku Jingga dan ada yang bertanya bagaimana nak laksanakan janji itu. Memanglah setakat ini kita tak boleh laksanakan sebab kita belum duduk sebelah sana (BN). "Sebab itulah kami berikan tawaran, ada benda yang kita boleh buat dalam tempoh seratus hari. Dalam tempoh seratus hari pun kita boleh menjanjikan sesuatu, apatah lagi kalau kita memerintah. "Segala yang kami tawarkan itu bukan kita buat sambil-sambil bersila, sambil-sambil bersembang. "Kami punya satu kumpulan pakar ekonomi, satu kumpulan yang membuat kajian daripada semua sudut dan tawaran ini akan disusuli dengan komitmen untuk mengembalikan kehebatan negara yang mula runtuh di bawah BN," katanya. |
Wednesday, March 9, 2011
Tuntut biar sampai SPR semput
P’raya: PAS terus tuntut walau SPR bakul sampah
No comments:
Post a Comment