SHAH ALAM – Serangan bertubi-tubi yang dilancarkan ke atas pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sejak akhir-akhir ini tidak akan sesekali melemahkan persiapan mereka merampas Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.
Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu video seks yang didakwa melibatkannya merupakan tindakan terdesak UMNO untuk menghalang kemaraan PR dan rakyat walaupun ia taktik kotor dan tidak masuk akal.
Menurutnya, selepas tuduhan liwat kedua dikenakan ke atasnya seolah tidak dapat lagi mempengaruhi rakyat, beliau mendakwa UMNO menggunakan isu video seks sebagai helah baru dan menggambarkan seolah mereka adalah juara moral.
Katanya, UMNO terutamanya bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik yang mendedahkan video seks tersebut tidak layak bercakap soal moral kerana beliau sebelum ini didakwa terlibat dengan pelbagai tuduhan rasuah dan rogol.
“Dalam kes video seks ini, yang menjadi peliknya, mereka yang mengedarkannya pula diraikan, mereka ini muncul dan menggelar diri mereka tokoh baru, inilah cara mereka,” katanya ketika berucap pada Program Solat Hajat dan Ceramah Perdana Melawan Fitnah malam kelmarin.
Beliau berkata, walaupun pelbagai cara digunakan untuk menamatkan karier politiknya, Anwar menegaskan pihak-pihak ini tidak akan berjaya kerana kekuatan di sebalik kariernya adalah sokongan padu daripada rakyat.
“UMNO tidak akan mampu mematikan saya, kuasa yang mampu mematikan saya hanya kuasa Allah SWT dan rakyat, bukan UMNO,” katanya.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut mengingatkan keseluruhan jentera pilihan raya PR agar memberi perhatian sepenuhnya kepada pilihan raya negeri Sarawak yang akan berlangsung bulan depan.
Katanya, isu video seks yang panas diperkatakan sekarang tidak seharusnya menggugat keyakinan kerana matlamat utama adalah mahu mengubah suasana politik yang lebih mementingkan rakyat.
Sementara itu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, peristiwa pendedahan itu yang dibuat oleh kumpulan menggelar diri mereka sebagai Datuk T adalah satu perkara amat menjijikkan.
No comments:
Post a Comment