Sunday, April 17, 2011

Bagaimana adik Najib yang dapat projek RM20 juta biayai ubahsuai Masjid Kampung Baru ?

SAMM Tuntut Najib Perjelas Beri Kontrak Ubahsuai Masjid Kepada Adik


SHAH ALAM 17 APRIL: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tampil dan menjelaskan isu pemberian kontrak pengubahsuaian Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur kepada firma arkitek adiknya yang juga Timbalan Pengerusi masjid berkenaan, Datuk Nazim Razak.

Pengerusi SAMM, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard dalam satu surat terbuka kepada Najib yang dikeluarkan pada 10 April lalu menjelaskan SAMM mendapat maklumat bahawa kerja pengubahsuaian telah diberikan kepada firma arkitek Nazim, NRY Architect Sdn Bhd.

"Jikabenar, memandangkan adik Najib juga adalah Timbalan Pengerusi Masjid, maka wajar diperjelas sama ada terdapat percanggahan kepentingan sebagai pemilik firma NRY Architect Sdn Bhd.

"Najib sendiri harus memperjelaskan perlantikan Nazim sama ada atas kapasitinya sebagai Timbalan Pengerusi Masjid ataupun sebagai adik Perdana Menteri sendiri yang jelas kedua–duanya ada pertembungan kepentingan," kata beliau.

Sebelum ini, Najib telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membiayai pengubahsuaian Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur yang akan disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad pada 5 Februari lalu.

Badrul berkata, isu ini hanya akan menimbulkan persepsi negatif di kalangan rakyat negara ini sekiranya Najib memilih untuk berdiam diri.

Ini kerana, jelas beliau, sebelum ini Najib turut memilih untuk berdiam diri semasa Najib serta Nazim dikaitkan dengan pembunuhan kejam seorang wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu oleh seorang penyiasat persendirian, P Balasubramanian melalui akuan bersumpahnya pada 3 Julai 2008.

Tambah beliau, tindakan Bala yang kemudiannya menarik balik dan menghilangkan diri ke luar negara menyebabkan timbulnya satu tanggapan negatif bahawa Najib mungkin terlibat dalam isu tersebut kerana sikap berdiam dirinya.

Katanya lagi, perkara terbaik dalam mengelak persepsi buruk adalah dengan Najib sendiri menjelaskan pertanyaan yang timbul di kalangan rakyat.

Badrul seterusnya berkata, adalah diharapkan agar Najib dapat memberikan penjelasannya melalui media massa sekiranya Najib menganggap SAMM hanya satu kumpulan kecil yang tiada kepentingan untuk dijawab dengan surat rasmi kerajaan.

No comments:

Post a Comment