KUALA LUMPUR 19 APRIL : Ahli Dewan Negara Senator Dr Syed Husin Ali berkata Malaysia kini memegang dua rekod dunia yang sangat memalukan kerana menjadi negara paling lama memiliki undang-undang darurat.
Menurut Dr Syed Husin, tindakan kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) mempertahankan perundangan zalim itu bukan sahaja mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia dari segi politik dan amalan demokrasi malah menjadi negara pertama mempunyai undang-undang darurat paling lama berkuatkuasa di dunia.
Sedangkan katanya, negara-negara bekas diktator di seluruh dunia turut sama memansuhkan undang-undang tersebut.
“Selepas kebangkitan rakyat di Tunisia, Mesir dan Algeria, pemimpinnya sudah mengumumkan akan memansuhkan Undang-undang Darurat di negara masing-masing yang berkuatkuasa antara 20 hingga 40 tahun saja.
“Tetapi di Malaysia, undang-undang ini sudah lebih 60 tahun,” katanya dalam sidang media di lobi parlimen hari ini.
Menurut Dr Syed Husin, negara lain di dunia juga hanya memiliki satu perisytiharan Undang-undang Darurat.
“Akan tetapi, Malaysia yang begitu kecil dan belum begitu panjang sejarah kemerdekaannya memegang rekod dunia dengan mempunyai lima perisytiharan Darurat.
Dr Syed Husin mempersoalkan berapa lama lagikah kita hendak memegang rekod yang sangat memalukan ini?.
Sehubungan itu, Dr Syed Husin mendesak kerajaan Umno-BN segera memansuhkan undang-undang darurat yang diperkenalkan sejak 1948 itu.
“Adakah kerajaan Umno BN hendak menunggu dulu kebangkitan rakyat di jalanraya seperti di negara-negara Arab untuk memansuhkan undang-undang ini,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment