Saturday, April 2, 2011

Elit BN kaya raya, rakyat Sarawak menderita

Anwar Ingatkan Rakyat Sarawak Usah Terpedaya Politik Pembangunan BN


ASAJAYA 2 APRIL : Rakyat Sarawak diingatkan supaya tidak terpedaya dengan kempen politik pembangunan yang dibawa oleh Barisan Nasional kerana golongan yang menikmatinya di negeri ini hanyalah segelintir elit yang sememangnya kaya raya, sementara rakyat bawahan terus dibelit kemiskinan.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mana-mana kerajaan di dunia pasti akan membawa pembangunan tetapi yang menjadi persoalan ialah golongan manakah yang menjadi sasaran kepada pembangunan itu dan kelompok mana yang boleh mengaut keuntungan melaluinya.

" Syukur ini kepada siapa? Kepada Allah bukan kepada manusia, Mubarak pun buat jalan, Indonesia lagi ada jalan, England ada jalan, negera China ada jalan, India ada jalan, Bangladesh yang miskin pun ada pun jalan, sekolah ada.

" Soalnya sekarang kalau kita tidak kufur nikmat Allah, Tuhan bagi, saya ada elaun sebagai ahli parlimen tapi sekarang kena gantung sebab saya dedahkan hubungan Umno dengan Apco, sentuh sikit Israel gantung enam bulan, berkuasa betul Yahudi Israel, orang lain boleh sentuh. Orang ambil tanah kita, kita tak tau, balak habis kita tak tau, itu pun syukur, syukur apa balak habis?,"soal Anwar.

Bercakap kepada sekumpulan jemaah selepas mengerjakan solat Jumaat di Masjid Daaru As Solihin, Kampung Sambir, Asajaya semalam, beliau menegaskan walaupun Sarawak dilihat membangun, namun sejumlah besar rakyat di Bumi Kenyalang itu terpinggir dalam arus pembangunan yang dibawa BN.

" Apa kita cemburukan dengan orang kaya, jangan! Orang kerja dia kaya hak dia, tetapi kalau dia jadi menteri, saya Menteri Kewangan lapan tahun.. saya datang disambut permaidani merah, satu balak saya tak ambil, kita kena ingat hasil bumi milik kita, bagi lah syarikat untung sikit, (yang lain) agihlah kepada rakyat.

" Minyak hasil negeri tetapi harga minyak naik. Periksa masa saya Menteri Kewangan minyak naik ke tidak,"katanya lagi.

Seterusnya Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat berkata, layanan yang diberikan oleh kerajaan BN terhadap rakyat miskin dan golongan berada juga amat berbeza sekali.

" Mereka berani dengan orang kampung, marah orang kampung, nak buat majlis sikit datang ugut, ada bendera (Pakatan) minta diturunkan kerana mereka orang kampung. Orang besar yang kaya buatlah apa pun, curilah sebanyak mana mungkin pun, kes apa pun, kes bunuh kalau melibatkan orang atas tutup semua, yang kita nak bawa perubahan, dari sudut inilah,"jelas Anwar lagi.

Justeru itu beliau menyeru rakyat Sarawak supaya menyokong Pakatan Rakyat untuk menumbangkan BN pada pilihanraya negeri 16 April nanti supaya negeri ini juga
dapat menikmati dasar pro rakyat seperti di negeri-negeri yang diperintah gagasan itu.

" Kita bawalah perubahan dengan baik, tak usah bermusuh, saya tidak pernah berkelahi dengan orang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), saya bukan musuh, dia nak maki saya pun, saya tak kenal.. biar je lah, tak payah jawab, saya mahu guna kuasa bagi lah sikit mesej, cukup cukuplah ambil harta.

" Bagilah peluang kita belajar daripada pengalaman. Rakyat Kelantan dan Selangor boleh buat, orang Melayu, Melanau, Iban, kita boleh jaga semua,"katanya lagi.

No comments:

Post a Comment