KUALA LUMPUR, 27 April: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) menyeru MCA dan Gerakan agar mengambil langkah berani dengan keluar dari BN segera memandangkan mereka tidak lagi menjadi aset kepada BN sejak kebelakangan ini.
Pengarah Pilihan raya DPPP, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, bahkan Gerakan, MCA dan SUPP dianggap oleh Umno sebagai liabiliti kepada BN dengan siri-siri kekalahan mereka dalam pilihanraya yang diadakan sejak tahun 2008 dan terkini di Sarawak.
“DPPP berpandangan bahawa Umno yang menerajui BN menjadi punca rakyat menjauhkan diri daripada BN,” katanya kepada Harakahdaily.
Menurutnya, dengan menanamkan semangat perkauman yang sempit, Umno suka agar rakyat mencurigai satu sama lain khususnya terhadap bangsa dan kaum yang lain.
Tambahnya, tindakan Perkasa yang berdemonstrasi di hadapan Pejabat MCA demi untuk menyokong ‘lidah rasmi’ Umno iaitu Utusan Malaysia baru-baru ini pula mengesahkan lagi Umno merupakan parti perkauman yang melampau dan slogan ‘1 Malaysia’ jelas retorik semata-mata.
Beliau yang juga ahli Parlimen Jerai berkata, dengan keputusan Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, ditambah dengan keputusan dalam Pilihanraya Umum ke 12 tahun 2008, menunjukkan bahawa sokongan pengundi Cina kepada MCA dan Gerakan semakin merosot.
Katanya lagi, MCA dan Gerakan bukan lagi parti tempat bergantung kaum Cina, sebaliknya pengundi Cina lebih bergantung harap kepada DAP.
Menurut, MCA dan Gerakan sekarang boleh diumpamakan sebagai ‘rumah kosong’.
Ini, ujarnya ditambah dengan pengakuan Ketua Biro Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia Gerakan Pulau Pinang, Baljit Singh bahawa masyarakat Cina tidak akan kembali ke BN hanya kerana kerajaan membekalkan mereka dengan 'kemudahan kelas pertama'.
Puncanya, kata beliau kerana rakyat sudah jelak melihat tingkah laku pemimpin BN yang sombong, angkuh, zalim serta hidup dalam kemewahan sedangkan rakyat hidup dalam penderitaan yang berpanjangan.
Tambahnya lagi, tambahan pula dengan kes-kes rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme yang diamalkan oleh BN sejak sekian lama menyemarakkan lagi kebencian rakyat terhadap BN.
“Apa yang rakyat perlukan sekarang adalah pemimpin yang rendah diri dan bukannya pemimpin bongkak,” ujarnya.
Selain itu, ujarnya parti berasaskan perkauman seperti diamalkan oleh BN sudah tidak relevan lagi sekarang.
Beliau menambah, rakyat mahu melihat parti dan pemimpin yang memperjuangkan keadilan sejagat tanpa mengira warna kulit, bangsa dan keturunan.
Menurutnya lagi, perjuangan berasaskan perkauman sudah lama ditinggalkan kerana rakyat sudah boleh menerima bangsa atau kaum lain di negara ini.
Katanya, Pakatan Rakyat (PR) telah membuka minda rakyat dengan politik era baru yang berteraskan ketuanan rakyat tanpa mengira mana-mana bangsa dan PAS sendiri telah melebarkan ‘uslub’ dakwah kepada yang bukan beragama Islam tanpa mengadaikan prinsip yang dipegang selama ini sehingga bangsa lain boleh duduk bersama di dalam PAS.
“Situasi ini menyebabkan Umno BN merasa panik lalu cuba menjuarai isu-isu remeh yang melibatkan bangsa melayu tanpa mempedulikan perasaan parti komponen yang lain di dalam BN,” ujarnya.
Beliau berkata, rakyat di mana-mana belahan dunia kini melaungkan slogan mahukan perubahan.
Jelasnya, di negara-negara Asia Tengah, perubahan sedang berlaku, dan ia sedang merebak ke Malaysia di mana di Sarawak, rakyat menzahirkan sentimen kebencian terhadap Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang menyebabkan penduduk bandar khususnya bangsa Cina menolak BN.
“Di Semenanjung hari ini, rakyat khususnya di kawasan bandar sudah membuka mata melihat keabsahan pemerintahan BN yang memiskinkan dan menekan rakyat. Perubahan itu mesti berlaku dan sedang berlaku,” katanya.
Katanya lagi, sudah lebih 50 tahun BN memerintah dan semakin nyata ketempangan yang berlaku di negara kita dan BN dianggap sebagai sebuah kapal yang sedang menanti untuk karam.
“Dalam keadaan demikian, apakah perlu lagi MCA dan Gerakan berpaut kepada BN?” solanya
Justeru itu, ujarnya DPPP menyeru agar MCA dan Gerakan segera mengambil langkah keluar dari BN dan menyertai PR.
Tambahnya, Umno hanya memerlukan MCA dan Gerakan ketika pilihan raya sahaja demi untuk mendapatkan undi.
“Rakyat kini sudah menganggap PR adalah parti masa depan mereka. Hanya dengan cara inilah MCA dan Gerakan mampu kembali ke persada politik negara dan memenangi jiwa rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment