Oleh Wira Arjuna
Esok, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz akan mengusulkan kepada Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat sama ada Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video lucah Datuk T.
Alasan yang diberi Nazri ialah Anwar mungkin menjadi Perdana Menteri Malaysia dan justeru itu harus “lulus” penelitian Suruhanjaya DiRaja bersabit video itu.
Nazri juga memberi kenyataan dangkal bahawa isteri Anwar Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail tidak layak untuk memutuskan individu dalam video itu mempunyai susuk badan (perut boroi dan dada luas) jauh berlainan dengan Anwar.
Perakuan seorang isteri lebih 50 tahun dan presiden sebuah parti politik diketepikan begitu sahaja oleh Nazri! Namun biarlah rakyat, khususnya kaum wanita menjawab Nazri atas perkara itu.
Yang lebih penting ialah cubaan Nazri meletakkan “syarat” Anwar mesti lulus ujian Suruhanjaya DiRaja (SDR) sebelum boleh diangkat menjadi Perdana Menteri.
Secara tiba-tiba Nazri dan juak-juak dalam Umno mengiktiraf kemungkinan Anwar menjadi Perdana Menteri . Atau, adakah ia semata-mata untuk menghalalkan penubuhan SDR?.
Jika SDR menjadi ukuran untuk memastikan hanya mereka yang “bersih” menjadi pemimpin - kenapa tidak ditubuhkan Suruhanjaya DiRaja untk menyiasat Datuk Seri Najib bersabit pembunuhan warga Mongolia Altantuya Sharibuu.
Najib - dahulu dan sekarang dibelit dengan tuduhan beliau terbabit dalam skandal Altantuya. Belum lambat untuk menubuhkan Suruhanjaya itu bagi memastikan tuduhan dan dakwaan bersabit Altantuya tidak lekat selama-lamanya.
Umum tahu pembunuhan Altantuya pada tahun 2006 melibatkan penasihat Najib Abdul Razak Baginda dan dua anggota polis yang menerima arahan daripada pegawai kanan di pejabat Najib.
Umum juga tahu Altantuya dan Razak dibelit dengan isu pembayaran komisyen hampir RM500 juta untuk pembelian kapal selam yang diluluskan oleh Najib ketika beliau Menteri Pertahanan.
Dan umum juga tahu pada tahun lalu, pihak berkuasa Peranchis sendiri memulakan siasatan bersabit pembayaran komisyen kapal selam itu kerana ia membabitkan syarikat perkapalan negara itu.
Apakah ini semua tidak melibatkan kepentingan nasional yang sepatutnya membawa kepada sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja untuk menyiasat isu komisyen kapal selam, Altantuya dan hubung kait dengan Najib selaku Menteri Pertahanan ketika itu?
Sepatutnya sebelum melangkah masuk pejabat Perdana Menteri, Najib menawarkan untuk menubuhkan Suruhanjaya DiRaja itu bagi memperakui beliau sebenarnya bersih-sebersihnya.
Namun tidak. Dua anggota polis yang tidak pun mengenali Altantuya disabit kesalahan mengebom Altantuya manakala Abdul Razak Baginda dibebaskan.
Dua minggu lalu, Najib dengan gah menawarkan DNAnya dalam cubaan menyindir Anwar bersabit tuduhan fitnah liwat terhadap Ketua Pembangkang itu.
Sayang, Perdana Menteri hanya membuat tawaran itu setelah perbicaraan Altantuya berakhir dan Najib selesa menduduki taktha pemimpin utama negara.
Sepatutnya Nazri menjawab soalan mudah ini – kenapa standard yang dikenakan terhadap Anwar, itupun bersabit video lucah, dikecualikan terhadap Najib Razak dalam kes yang membabitkan pembunuhan seorang warga asing dan duit rakyat berjuta-juta ringgit.
Kenyataan Nazri mahukan SDR adalah berbaur politik dan dipinjam daripada agenda Tan Sri Rahim Thamby Chik, Shayzl Eskay dan Shuib Lazim ketika mereka menayangkan video lucah itu kepada wartawan terpilih pada 21 Mei lalu.
Sekali gus pengumuman Nazri mengesahkan usul penubuhan SDR adalah satu lagi taktik keji Umno untuk memanjangkan fitnah video seks terhadap Anwar.
Ia bukan mengenai mencari kebenaran kerana jika itulah yang dicari, maka polis sudah tentu menangkap Datuk T dan mendedahkan sama ada pelaku dalam rakaman 21 minit itu adalah Ketua Pembangkang atau sebaliknya.
Namun itu tidak berlaku. Ketua Polis Negara Ismail Omar hanya mengesahkan video itu adalah tulen dan siasatan 95 peratus siap untuk diserahkan kepada Peguam Negara.
Hanya ismail dapat menjawab keperluan untuk beliau memberi kenyataan sebegitu, malah kenapa beliau perlu memberi sebarang kenyataan jika siasatan belum dimuktamadkan.
Mungkin kerana yakin orang ramai akan mencurigai hasil siasatan polis, maka wujud tekanan baru ke atas Umno untuk menubuhkan SDR.
Namun apabila Jemaah Menteri bermesyuarat esok untuk menimbangkan cadangan menubuhkan Suruhanjaya di Raja bagi menyiasat video lucah Anwar, mereka harus bertafakur seketika untuk memperingati mendiang Altantuya Sharibuu yang tidak mendapat pembelaan sedemikian.
Thursday, April 7, 2011
Najib tidak akan berani lulus Suruhanjaya Diraja siasat kes ALTANTUYA
Najib Harus Lulus Siasatan Suruhanjaya DiRaja Lebih Dahulu
No comments:
Post a Comment