Siapa lebih bijak berpolitik, Najib atau Taib?
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengimbau pengalamannya sendiri sebelum menyajikan alasan soal pengganti Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud harus mengikut jadual perubahan yang dipersetujui oleh kedua-dua pemimpin itu.
Taib malam tadi mengesahkan bahawa beliau akan terus berkuasa untuk beberapa tahun lagi, namun Najib, mungkin kerana peka kepada sentimen rakyat Sarawak tidak mahu memberi pengesahan.
Namun Najib harus berpandukan isu pengganti Taib ini kepada pengalaman dirinya sendiri ketika ditabalkan menjadi perdana menteri.
Sejurus selepas BN hilang kuasa di empat negeri dan kelebihan majoriti dua pertiga di parlimen pada Mac 2008, pemimpin-pemimpin kanan Umno, dengan sokongan Tun Dr Mahathir Mohamad menggerakkan agenda untuk memaksa Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan.
Tawaran Abdullah sendiri untuk berundur selepas dua tahun ditolak oleh pemimpin berkenaan.
Yang paling lantang mengkritik pelan itu adalah Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana berpeluang menjadi timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri jika Abdullah berundur.
Untung paling besar
Tentunya yang mengaut keuntungan paling besar adalah Najib selaku perdana menteri baru.
Seorang lagi yang tersenyum lebar adalah Dr Mahathir, kerana peralihan kuasa itu sekali lagi memberi beliau pengaruh untuk membina masa depan anaknya Mukhriz dalam Umno.
Hakikatnya adalah, pelan peralihan dua tahun yang ditawarkan oleh Abdullah ditolak dan Najib dan Muhyiddin diangkat menerajui Umno dan Malaysia pada April 2009.
Ketika itu, tidak timbul soal “rakyat akan terkejut jika ada peralihan mendadak atau pelan menggantikan Taib disusun dengan rapi supaya tidak merencatkan masa depan rakyat dan negara,” seperti mana yang dicanang oleh Najib dan Taib di Sarawak ketika ini.
Yang penting bagi Najib dan Muhyiddin ketika itu ialah mengambil kesempatan atas “kelemahan” Abdullah dan merebut kuasa untuk diri mereka sendiri dengan meniupkan sentimen anti-Pak Lah dalam Umno ketika itu.
Di Sarawak, Najib tentunya akur bahawa sebilangan besar rakyat Sarawak mahukan Taib berundur pada kadar segera.
Kehadiran ribuan rakyat di ceramah-ceramah Pakatan Rakyat sejak 6 April lalu mencerminkan sentimen sedemikian di peringkat akar umbi.
Kuasa mutlak
Tidak syak lagi, pertempuran Najib -Taib Mahmud bakal menguntungkan Muhyiddin! Bertuah badan!! |
Di Sarawak, Taib memegang kuasa mutlak untuk menentukan hala tuju politik beliau dan parti-parti BN di negeri itu. Dr Mahathir sendiri gagal untuk memujuk Taib berundur pada tahun 2000.
Tidak ada apa-apa yang berubah sejak itu.
Hakikat bahawa Najib tidak “berani' mengulas kebingkasan Taib yang menyifatkan tindakan yang diambil oleh Putrajaya bagi menyelesaikan kemelut al-Kitab sebagai “bodoh” menunjukkan seolah-olah perdana menteri sendiri tunduk kepada telunjuk Taib.
Rakyat amat sangsi bahawa wujud sebarang persetujuan antara Taib dan Najib berhubung pengunduran ketua menteri itu.
Ini lebih-lebih lagi apabila Taib masih lantang mengumumkan beliau akan terus berkuasa “untuk beberapa tahun akan datang.”.
Jika ada pun sebarang pelan peralihan kuasa, Najib dan Taib harus mendedahkannya kerana rakyat perlu menilai sama ada mereka menerima rancangan sedemikian atau tidak sebelum mengundi pada Sabtu ini.
Pengalaman BN pada masa-masa lalu, membuktikan Malaysia tidak pernah mempunyai pelan peralihan kuasa yang dilaksanakan dengan sepenuhnya.
Sudah luput
Lihat sahaja bagaimana Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Onn, malah Dr Mahathir sendiri mengejutkan rakyat dengan persaraan mereka.
Dalam kes Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein, persaraan mereka terikat kepada politik dalaman Umno yang berhubung kait dengan Dr Mahathir.
Dan persaraan Dr Mahathir sendiri didorong oleh kesedaran bahawa jangka hayatnya sebagai presiden Umno sudah luput kerana orang Melayu mulai menolaknya.
Jadi soal pengunduran Taib tidak harus menimbulkan kesangsian bahawa Sarawak akan “kelam kabut” jika beliau berbuat demikian secara mendadak .
Jika Malaysia boleh melalui peralihan kuasa sedemikian, Sarawak tentu boleh!
Kita percaya jika Taib, BN dan Putrajaya tidak mengasuh dan menyediakan pemimpin pelapis untuk mengambil alih daripada Taib sehingga sekarang, maka mereka dengan sendirinya telah gagal melaksanakan amanah rakyat.
Namun yang lebih membimbangkan adalah kenyataan Taib bahawa beliau akan berkuasa untuk beberapa tahun akan datang, bermaksud cengkaman beliau ke atas negeri ini akan berterusan sekurang-kurangnya untuk masa terdekat.
ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment