Sunday, April 24, 2011

Polis tidak menyorok dalam belukar dan sebalik tiang lagi


Polis hapus sistem ‘Tangkap Laju’ : Timbalan Ketua Polis Negara

Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan menggunakan lagi sistem perangkap kelajuan, yang menjadi sebahagian daripada punca rungutan mengenai notis saman ekor selama ini.

Sebaliknya Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan bertindak telus dan akan memberi amaran kepada kepada para pemandu mengenai operasi mengesan kelajuan memandu terlebih dahulu.

Sistem perangkap kelajuan menggunakan kamera telah digunakan hampir dua dekad oleh PDRM.

Polis tidak menyorok dalam belukar dan sebalik tiang lagi

“Kami tidak harus bersembunyi di sebalik belukar. Kami perlu tampil secara terbuka dan menguatkuasakan undang-undang (secara telus),” kata beliau kepada pemberita di Shah Alam hari ini.

Banyak pihak mempertikaikan notis saman yang dihantar ke alamat pemilik dengan ramai mendakwa bukan mereka yang mengendalikan kenderaan ketika dikesan.

Ada yang mewujudkan jawatankuasa atau pertubuhan bukan kerajaan membantah sistem itu, antara Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) yang mahu kerajaan menghapuskan sistem notis saman ekor.

Bagaimanapun kata beliau, jika dikenakan saman pemandu-pemandu terbabit mesti menjelaskan saman.

“Kita tidak lagi menyorok balik tiang, kita saman terus dan kalau sudah kena saman jangan lupa bayar,” katanya dipetik Bernama Online.

Khalid membuat kenyataan itu apabila seorang peserta dialog mengutarakan mengenai kekerapan kehadiran polis di jalan raya sejak kebelakangan ini menyebabkan pemandu lebih berdisiplin berbanding sebelum ini di mana ada anggota polis yang menyorok di hujung jalan dan kemudian keluar dari persembunyian dan menahan pesalah trafik.

Khalid kemudian memberitahu sidang media bahawa kehadiran anggota polis secara ketara dalam operasi lalu lintas telah dimulakan tidak berapa lama dahulu.

“Jangan terkejut bila kena saman… kita tidak seharusnya menyorok, kita akan keluar dan menguatkuasakan undang-undang,” katanya.

Mengenai usaha PDRM membanteras gejala samseng di kalangan masyarakat India di Selangor, Khalid berkata selain didakwa di mahkamah, polis juga melakukan tindakan pencegahan.

“Tahun lepas 300 orang telah kita tahan di bawah undang-undang pencegahan, tindakan terhadap gangsterisme dibuat secara berterusan itu sebab tidak ada kumpulan kartel jenayah atau mafia yang berkuasa di negara ini,” katanya.

Khalid juga berkata PDRM tidak lagi melihat belia dan persatuan belia sebagai pelanggan sebaliknya melihat belia sebagai rakan dan persatuan belia sebagai rakan kongsi.

MI

No comments:

Post a Comment