Friday, May 6, 2011

Biarlah kita hina kerana menuntut ilmu - Bob Lokman

Kehinaan yang kita tempuhi dalam perjalanan mencari ilmu tidak mengapa kerana nanti ilmu itu akan memuliakan kita. Saya amat menyukai suasana sebegini. Di sekolah-sekolah kelolaan PAS sahaja kita akan jumpa, masjidnya lebih besar dari sekolah. Banyak sekolah-sekolah yang didirikan kerajaan, muridnya 3,000 orang tapi suraunya boleh memuatkan Cuma 200-300 orang. Mengambarkan sembahyang bukan suatu agenda penting kerajaan. Saya mengakui bahawa saya bukan seorang bapa yang berilmu tetapi saya inginkan sistem yang ada boleh mendidik anak saya menjadi seorang yang baik. Tak kisah nanti mereka nak jadi apa, doktor, loyar, polis atau apa sahaja, yang penting mereka mesti kenal Allah.”

Itulah antara nasihat yang dilontarkan Saudara Bob Lokman ketika program sepetang bersama Bob sempena Ihtifal Tahunan Muassasah Matla’in Badrain, Jabi petang semalam. Ihtifal yang menjadi agenda kalendar tetap tahunan Muassasah kelmarin 30 April 2011, mengorbankan 6 ekor lembu dan dihadiri ribuan penduduk dari sekitar Besut, Setiu, Pasir Puteh malah ramai tetamu dari kawasan yang lebih berjauhan turut mengunjunginya.

Perkampungan Muassasah Matla’in Badrain di Kampung Pasir Tawar, Jabi yang menempatkan Ma’ahad Tahfiz Wa Ta’alim Matla’in Badrain, kini menjadi tempat menuntut ilmu bagi kira-kira 50 orang pelajar dengan mengamalkan konsep pusat pendidikan bersepadu, tahfiz, agama dan akademik. Sebahagian besar pembiayaannya adalah dari sumbangan orang ramai.

Kehadiran Bob pada petangnya ternyata begitu mengujakan dan beliau diberikan sambutan meriah oleh pengunjung yang tak putus-putus ingin bergambar dan bersalaman dengannya. Kemeriahan majlis pada petangnya turut diserikan lagi dengan kehadiran DatoHaji Abu Bakar Chik, Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu dan Ustaz Mohd Pauzi Muda, Yang Dipertua PAS Kawasan Setiu.

Dato’ Abu Bakar Chik pula, dalam ucapannya yang penuh bersemangat di atas kapasitinya sebagai Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat menekankan pentingya institusi pendidikan rakyat ini dipertahankan. Walaupun berdepan dengan kedhaifan prasarana, kekurangan tenaga manusia, infrastruktur yang serba sederhana, isu kebajikan para pelajar dan guru tetapi dengan sokongan semua pihak, kita terus maju ke hadapan. Telah pelbagai mehnah dan tribulasi dilalui, semua ini memantangkan kita.

Berucap mewakili pihak Muassasah, Ahli Lembaga Pengarah Ma’ahad Tahfiz Wa Ta’alim Matla’in Badrain yang juga Ahli Jawatankuasa Lujnah Pendidikan PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim menegaskan tiada ummat yang boleh maju kehadapan sekiranya individu manusia di dalamnya tidak dibina. Bagi pendokong gerakan Islam, Muassasah Matla’in Badrain ini adalah milik dan tanggungjawab kita bersama. Jatuh bangunnya adalah sebahagian maruah perjuangan kita.

No comments:

Post a Comment